IPOH, 14 Okt (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas 1.63 tan daun ketum dan 1,320 botol air ketum selepas menahan sebuah lori menerusi Op Taring Mitra di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, 7 Okt lepas.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta SAC Shahrum Hashim berkata operasi itu dijalankan hasil risikan dan intipan selama sebulan oleh Cawangan Risik Briged Utara.
“Hasil pemeriksaan terhadap lori dan pemandunya kira-kira 4 pagi, pasukan PGA menemukan 163 beg plastik hitam mengandungi daun ketum dianggar seberat 1.63 tan serta beberapa tong ais berisi 1,320 botol air ketum keseluruhannya bernilai RM304,800,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu lori lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai membawa bekalan daun dan air ketum berkenaan dari negeri di utara untuk dihantar ke Lembah Klang dengan upah sebanyak RM500 bagi setiap perjalanan.
Kes katanya sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
-- BERNAMA