JENAYAH & MAHKAMAH

Briged Tenggara PGA Buka 23 Kertas Siasatan Tatatertib Sepanjang 2024

20/10/2025 11:41 PM

KOTA BHARU, 20 Okt (Bernama) -- Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) membuka sebanyak 23 kertas siasatan tatatertib sepanjang 2024, kata Pemangku Komandernya ACP Ijid Landu Binju.

Beliau berkata pada tahun ini pula, 20 kes direkodkan setakat bulan lepas dengan kes yang dikesan termasuk penyalahgunaan dadah, tidak hadir bertugas, meninggalkan tempat bertugas tanpa kebenaran dan kegagalan mengisytiharkan harta.

“Tindakan tatatertib diambil mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dengan hukuman bermula daripada amaran sehingga buang kerja, bergantung kepada tahap kesalahan.

"Jumlah kertas siasatan yang dibuka itu membuktikan komitmen berterusan PGA dalam memastikan setiap warga pasukan mematuhi undang-undang serta mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan keselamatan itu," katanya hari ini.

Ijid Landu berkata kes pelanggaran tatatertib yang direkodkan sepanjang tempoh berkenaan bagaimanapun tidak membabitkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480893