KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Malaysia hari ini menandatangani Perjanjian Geran Bantuan Dana Pelbagai Hala (MLF) bernilai USD10.19 juta (RM43.1 juta) bagi Pelan Pelaksanaan Kigali (KIP) Peringkat I, menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS).
JAS dalam kenyataan memaklumkan perjanjian itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia terhadap pelaksanaan Pindaan Kigali 2016 kepada Protokol Montreal yang menyasarkan pengurangan penggunaan hidrofluorokarbon (HFC) gas rumah hijau secara berperingkat sehingga 80 peratus menjelang 2045.
“Malaysia kekal komited untuk melindungi lapisan ozon dan mengurangkan kesan perubahan iklim serta meneruskan kerjasama antarabangsa dalam memastikan sektor penyejukan negara bergerak ke arah teknologi hijau dan mampan, seterusnya menyumbang kepada usaha global mengekang pemanasan bumi,” menurut kenyataan itu.
Menurut JAS, perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Dr Ching Thoo Kim dan wakil Bank Dunia sempena Seminar Ozone to Climate di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Melalui pelaksanaan KIP Peringkat I, Malaysia berhasrat mengurangkan 2.67 juta tan karbon dioksida setara (CO₂eq) menjelang 2029.
Menurut JAS, dana itu akan dimanfaatkan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif utama, termasuk pertukaran teknologi penyejukan komersial kepada bahan penyejuk rendah karbon dan cekap tenaga, serta penerapan teknologi latihan moden dan simulasi digital.
Inisiatif lain adalah pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui Program Juruteknik Bertauliah (CSTP) dan pemerkasaan pengurusan kitaran hayat bahan penyejuk secara menyeluruh dan lestari.
JAS memaklumkan pada majlis itu, subgeran MLF berjumlah USD1.877 juta (RM7.94 juta) turut diserahkan kepada tiga syarikat tempatan iaitu Berjaya Steel Product Sdn Bhd, Zun Utara Industry Sdn Bhd dan Proton Holdings Bhd.
“Subgeran ini bertujuan menyokong usaha penggantian teknologi penyejukan kepada sistem rendah karbon dalam pengeluaran kilang, sekali gus menggalakkan penglibatan industri tempatan yang juga inisiatif awal penggantian bahan penyejuk mesra iklim di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JAS Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar semasa merasmikan Seminar Ozone to Climate berkata Malaysia berjaya menghapuskan sepenuhnya bahan penipisan ozon klorofluorokarbon (CFC), karbon tetraklorida (CTC) dan metil bromida sejak 2010 serta pengurangan lebih 80 peratus penggunaan hidroklorofluorokarbon (HCFC) sehingga kini.
Beliau berkata Malaysia kini memasuki fasa baharu dengan pelaksanaan KIP yang bukan sahaja menumpukan kepada perlindungan ozon, tetapi juga menyumbang kepada tindakan iklim melalui pengurangan gas rumah hijau.
“Menandatangani Pelan Pelaksanaan Kigali Peringkat I dengan sokongan dana MLF hari ini adalah satu lagi pencapaian penting Malaysia dalam memperkukuh dasar nasional, membina kapasiti teknikal dan membantu industri beralih kepada teknologi rendah karbon serta cekap tenaga,” kata Wan Abdul Latiff.
-- BERNAMA