EKONOMI

SACOFA, ZTE Malaysia Jalin Kerjasama Pacu Transformasi Digital Sarawak

22/10/2025 09:41 PM

KUCHING, 22 Okt (Bernama) -- SACOFA Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik dengan ZTE (Malaysia) Corporation Sdn Bhd untuk mempercepatkan transformasi digital Sarawak melalui pembangunan ekosistem digital yang mampan dan pintar.

Kerjasama itu memberi tumpuan kepada memajukan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi awan, memperkukuh infrastruktur rangkaian dan menggalakkan penerapan Industri 4.0 merentas sektor-sektor utama.

Pengarah Urusan SACOFA Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib berkata kerjasama itu merupakan satu langkah penting dalam memodenkan infrastruktur rangkaian Sarawak untuk menyediakan sambungan berkelajuan tinggi dan menyokong masa depan yang berasaskan digital.

“Rangkaian SACOFA di seluruh negeri akan membolehkan pelaksanaan inisiatif industri autonomi dan memacu pertumbuhan digital jangka panjang di seluruh Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan ZTE Malaysia Steven Ge berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen syarikat untuk menyediakan penyelesaian rangkaian pintar dan cekap tenaga yang selaras dengan matlamat pembangunan digital mampan Sarawak.

Menerusi kerjasama ini, kedua-dua syarikat akan menggunakan automasi dikuasakan AI dan teknologi berasaskan awan untuk meningkatkan ketangkasan, skalabiliti dan kecekapan ekosistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Sarawak.

Inisiatif ini juga dijangka menyediakan jalur lebar berkelajuan ultra tinggi dan sambungan kependaman ultra rendah bagi memenuhi permintaan digital yang semakin meningkat dalam kalangan perniagaan dan komuniti di seluruh negeri.

Selain itu, SACOFA dan ZTE Malaysia akan bekerjasama dalam penyelesaian rangkaian yang selamat dan cekap tenaga bagi menyokong pengurangan karbon dan objektif kemampanan Sarawak.

Kerjasama ini juga akan memacu transformasi digital dalam sektor-sektor utama seperti kerajaan, penjagaan kesihatan, pendidikan, tenaga dan bandar pintar, sekali gus menggalakkan inovasi dan memperkukuh daya saing Sarawak dalam ekonomi digital.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481704