KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini, seiring dengan kejatuhan ketara harga emas global semalaman apabila pelabur mengambil untung selepas kenaikan baru-baru ini.
CIMB Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya hari ini berkata emas mencatatkan kejatuhan paling ketara dalam tempoh lima tahun apabila pelabur mengambil untung selepas komoditi itu mengalami kenaikan harga.
Bank pelaburan itu berkata S&P 500 mengalami sedikit perubahan semalaman, manakala emas menjunam 5.3 peratus kepada US$4,125 seauns — kejatuhan harian paling besar dalam tempoh lima tahun — berikutan ketegangan antara Amerika Syarikat dan China yang semakin reda selepas Donald Trump memberi isyarat optimisme terhadap perjanjian perdagangan yang adil dengan Presiden China Xi Jinping.
Ia juga berkata Trump menangguhkan rancangan untuk mengadakan sidang kemuncak dengan Presiden Rusia Vladimir Putin selepas Moscow menolak gesaan untuk gencatan senjata dengan segera di Ukraine, sekali gus menjejaskan prospek rundingan semula.
Sementara itu, kontrak bulan semerta Oktober 2025 susut kepada US$4,080.30 setiap auns troy daripada US$4,274.60, kontrak November 2025 merosot kepada US$4,097.00 setiap auns troy daripada US$4,291.30, manakala kontrak Disember 2025 jatuh kepada US$4,113.90 setiap auns troy daripada US$4,308.20 ketika ditutup semalam.
Kontrak Januari 2026 merosot kepada US$4,130.90 setiap auns troy daripada US$4,325.20, manakala kontrak Februari 2026, April 2026 dan Jun 2026 masing-masing ditutup rendah kepada US$4,147.20 setiap auns troy daripada US$4,341.50 sebelum ini.
Jumlah dagangan meningkat kepada 1,111 lot berbanding 124 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka naik kepada 1,151 kontrak daripada 164 kontrak sebelumnya.
Harga emas fizikal berada pada US$4,169.60 setiap auns troy berdasarkan penetapan harga oleh London Bullion Market Association pada 21 Okt, 2025.
-- BERNAMA