DUNIA

Indonesia, Malaysia Perbaharui Komitmen Kawal Laluan Laut Kritikal

22/10/2025 09:18 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 22 Okt (Bernama) -- Indonesia dan Malaysia menegaskan semula komitmen bersama untuk membanteras penyeludupan rentas sempadan serta melindungi kestabilan ekonomi serantau di Selat Melaka dengan pelancaran Rondaan Maritim Terkoordinasi Indonesia-Malaysia ke-29 (Patkor Kastima 2025) di Batam pada Rabu.

Operasi tahunan yang dilancarkan bersama oleh Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia itu menekankan kerjasama kedua-dua negara dalam memperkukuh keselamatan maritim serta mengekalkan kestabilan di antara laluan perdagangan tersibuk di dunia.

“Penyeludupan dadah, rokok, alkohol, tekstil, bungkusan mampat pakaian terpakai, pasir timah, benih udang kara dan pemerdagangan manusia kekal menjadi ancaman utama kepada ekonomi kedua-dua negara,” kata Ketua Pengarah DJBC, Djaka Budi Utama dalam satu kenyataan.

Beliau berkata rondaan tahun ini diperluas ke perairan Kalimantan Barat yang bersempadan dengan Sarawak, sebagai sebahagian daripada projek rintis integrasi bersama Pasukan Petugas Bersama bagi meningkatkan pemantauan dan memperluas operasi bersama.

“Operasi ini seharusnya melangkaui rondaan taktikal dan memberi tumpuan kepada perkongsian maklumat yang tepat serta masa nyata bagi memerangi kegiatan penyeludupan,” tambahnya sambil menjelaskan bahawa penyeludup kini semakin kerap mengeksploitasi jurang sempadan dan perbezaan dalam peraturan kastam.

Djaka menyeru supaya kerjasama dan pertukaran risikan diteruskan di luar pelaksanaan Patkor Kastima bagi memperkukuh keselamatan serantau dan memperdalam hubungan antara Indonesia dan Malaysia.

Selama hampir tiga dekad, Patkor Kastima menjadi lambang keazaman bersama kedua-dua negara untuk melindungi Selat Melaka, antara laluan maritim strategik paling kritikal di Asia Tenggara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481694