GEORGE TOWN, 17 Okt (Bernama) -- Polis Pulau Pinang menyasarkan penyertaan lebih 3,000 peserta dari dalam dan luar negara pada Penang 2nd Bridge Polis Diraja Malaysia (PDRM) Solidarity Fun Ride 2026 pada 3 Jan tahun hadapan.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata edisi keenam acara berbasikal waktu malam di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah itu memberi pengalaman tersendiri beriadah di jambatan terpanjang negara dalam suasana penuh semangat, sihat dan selamat.
“Program itu juga bertujuan meningkatkan kerjasama polis dengan masyarakat melalui sukan dan kempen pencegahan jenayah, dengan hampir 1,000 peserta telah mendaftar setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Pulau Pinang dan majlis peluncuran program itu di sini hari ini.
Azizee berkata program kayuhan sejauh 52 kilometer itu bermula pada 9.30 malam di Queensbay Mall, Bayan Baru dan peserta akan kembali semula ke garisan penamat di pusat beli-belah tersebut.
“Semua peserta akan menerima jersi rasmi, beg goodies, baju finisher, tuala dan gelang tangan serta pingat selain pelbagai hadiah menarik turut ditawarkan pada program itu,” katanya.
Mereka berminat boleh mendaftar menerusi https://www.gosportz.my/index.php/upcoming-events/pdrm-penang-international-2nd-bridge-solidarity-fun-ride-2026-event dan tarikh tutup penyertaan pada 15 Nov.
-- BERNAMA