Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- ASEAN Friendship Concert 2025 yang bakal berlangsung di Auditorium Seri Angkasa di sini malam esok dijangka menjadi pentas bersejarah yang menghimpunkan artis dari negara-negara ASEAN termasuk Timor-Leste, menampilkan persembahan berteraskan semangat perpaduan serantau melalui muzik dan budaya.
Konsert anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersempena Kepengerusian Malaysia bagi Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini akan bersiaran secara langsung menerusi TV2 pada 9 malam, dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu kehormat.
Pengarah Muzik Orkestra RTM Datuk Mokhzani Ismail, yang juga konduktor konsert, berkata pementasan itu bukan sekadar persembahan hiburan sebaliknya memperlihatkan semangat We Are One apabila artis dari seluruh rantau bersatu di atas satu pentas dalam harmoni muzik yang meraikan keindahan kepelbagaian budaya ASEAN.
“Setiap negara membawa identiti tersendiri melalui lagu dan alat muzik tradisional masing-masing yang digabungkan dalam bentuk orkestra moden... ia satu pengalaman muzik yang menyatukan pelbagai budaya dalam satu nadi serantau,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata Malaysia akan diwakili oleh Aina Abdul, Aisha Retno dan Hael Husaini manakala setiap negara ASEAN menampilkan seorang artis terbaik masing-masing kecuali Myanmar, yang tidak menghantar penyertaan.
“Malaysia akan membuka konsert dengan lagu Getaran Jiwa dan Samudera oleh Aisha Retno diikuti Medley Hajat/Raikan Cinta oleh Hael Husaini serta Jangan Mati Rasa Itu dan Our Land Our Home oleh Aina Abdul sebelum semua artis menutup persembahan dengan lagu baharu The Land We Love,” katanya.
“Antara lagu lain yang bakal dipersembah ialah Ties That Bloom (Singapura), Cheers to Life (Thailand), Anugerah Terindah (Brunei), Hein (Timor-Leste), Mua Bay Thap Co (Vietnam), Madaling Araw (Filipina), How Do You Do (Kemboja), Imagination (Laos) dan Mangu (Indonesia),” katanya sambil memaklumkan bahawa konsert itu diterbitkan oleh Mohd Amzar Anaqi Md Roziki.
Mokhzani juga berkata antara aspek paling mencabar ialah menyesuaikan kepelbagaian muzik dari negara-negara ASEAN agar dapat digabungkan dalam bentuk orkestra tanpa menjejaskan identiti asal setiap lagu.
Beliau berkata setiap negara membawa gaya tersendiri daripada segi melodi, struktur dan penggunaan alat muzik tradisional yang memerlukan gubahan semula dengan teliti bagi memastikan keharmonian keseluruhan konsert.
“Contohnya, lagu klasik dari Filipina dibawakan oleh seorang penyanyi opera, dan itu menjadi cabaran kerana kami perlu mengiringi persembahan tersebut dengan susunan muzik yang sesuai dengan gaya asal ciptaan dari negara berkenaan... cabaran utama ialah menyesuaikan muzik orkestra dengan karakter vokal penyanyi supaya hasilnya seimbang dan autentik.
“Selain itu, antara lagu paling unik ialah dari Vietnam, Kemboja dan Laos yang menampilkan elemen muzik daerah serta tradisional, memerlukan olahan berhati-hati agar kekal menyerlah dengan identiti asal masing-masing,” katanya.
Konsert itu membabitkan seramai 40 pemuzik Orkestra RTM manakala Sharizan Borhan dan Diane Querrer dari Filipina akan bertindak sebagai pengacara.
-- BERNAMA