KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Hanya berbaki enam hari sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 membuka tirai pada 26 Okt ini, suasana di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semakin sibuk dengan kerja-kerja pemasangan struktur, hiasan luaran dan landskap.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati pelbagai hiasan berunsur identiti ASEAN mula menghiasi kawasan luar KLCC, termasuk arca dan dekorasi bertemakan perpaduan serantau yang menambah seri persekitaran menjelang ketibaan pemimpin dunia.
Antara yang paling mencuri tumpuan ialah struktur kubah lut sinar flora dan fauna setinggi 10 meter dengan diameter 20 meter, diinspirasikan daripada seni bina kontemporari Malaysia, yang bakal menjadi mercu sambutan kepada delegasi ASEAN serta rakan dialog antarabangsa.
Biarpun cuaca di ibu negara sejak beberapa hari kebelakangan ini sering diselangi hujan lebat pada waktu petang, kerja-kerja persiapan di kawasan KLCC tetap diteruskan dengan petugas teknikal dan kontraktor dilihat tekun menyempurnakan pemasangan struktur, hiasan serta landskap bagi memastikan semuanya siap mengikut jadual.
Selain kerja-kerja landskap dan pencahayaan, kawasan sekitar KLCC yang bakal menjadi nadi utama penganjuran sidang kemuncak itu juga berada dalam kawalan ketat pasukan keselamatan, dengan anggota polis ditempatkan di setiap laluan utama menuju ke pusat konvensyen berkenaan serta di sekitar KLCC Park.
Pagi tadi turut berlangsung simulasi kawalan lalu lintas oleh pasukan polis trafik bagi memastikan pergerakan kenderaan dan delegasi berjalan lancar sepanjang tempoh sidang kemuncak itu.
Walaupun kawalan keselamatan diperketatkan, suasana sekitar Menara Berkembar Petronas dan KLCC Park tetap meriah dengan kehadiran orang awam serta pelancong yang mengambil peluang bergambar di sekitar arca dan hiasan ASEAN, yang menjadi simbol persahabatan serta semangat perpaduan serantau.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini merupakan kemuncak kepada Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 yang membawa tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Sidang kemuncak kali ini dijangka menjadi penganjuran terbesar dalam sejarahnya sejak pertama kali diadakan pada 1976.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa antara pemimpin dunia yang dijangka hadir ke sidang kemuncak tersebut.
-- BERNAMA