JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Maut, Suami Cedera Dalam Kemalangan Di Tanjung Malim

20/10/2025 08:52 PM

IPOH, 20 Okt (Bernama) -- Sebuah kereta dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tembok pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan, mengakibatkan seorang wanita maut dalam kejadian di Kilometer 96 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, dekat Tanjung Malim, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, DSP Suhaimi Muhamad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3 petang.

Menurutnya, mangsa Nur Syuhada Mohd Yusoff, 32, yang duduk di bahagian penumpang hadapan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala suaminya berusia 34 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

“Siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Vios dipandu suami mangsa dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Kuala Lumpur sebelum hilang kawalan, terbabas dan merempuh tembok pembahagi jalan hingga masuk ke laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Suhaimi berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk proses bedah siasat, manakala suaminya turut menerima rawatan lanjut di hospital sama.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480881