JENAYAH & MAHKAMAH

Lapan Individu Selesai Beri Keterangan Insiden Pengibaran Bendera Israel Di Kelantan

21/10/2025 02:44 PM

KOTA BHARU, 21 Okt (Bernama) -- Lapan individu selesai memberikan keterangan berhubung insiden pengibaran bendera Israel ketika program “500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza”  di Lembah Sireh di sini, 10 Okt lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata individu berkenaan terdiri daripada penganjur, pelakon, pengiklan dan pencetak bendera berkenaan.

Beliau berkata walaupun tindakan itu dilakukan untuk tujuan lakonan, ia tetap satu kesalahan kerana melibatkan simbol sensitif, selain Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.

“Walaupun kononnya dibuat untuk tujuan lakonan semula atau sketsa, ia tetap satu kesalahan kerana boleh mencetuskan kekeliruan dan isu sensitif dalam kalangan masyarakat.

“Kita tidak mahu rakyat tersalah faham dan kertas siasatan berhubung perkara ini telah lengkap danakan diserahkan kepada Pegawai Pendakwa Raya Negeri untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Putrajaya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Beliau berkata bendera Israel itu tidak dibeli secara dalam talian sebaliknya mereka mencetak sendiri dan  polis telah merampas bendera berkenaan.

Pada 10 Okt lepas, sebuah bot yang memasang beberapa bendera Israel melakukan lakonan semula insiden penahanan bot sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.

Program anjuran Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia itu disertai hampir 10,000 peserta yang menaiki bot masing-masing dan berarak dari Kampung Pulau Pisang hingga Lembah Sireh, meliputi jarak sejauh lapan kilometer sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.

Sementara itu, polis akan menyiasat dakwaan oleh pihak berkuasa Thailand mengenai kumpulan penjenayah terlibat dalam rompakan kedai emas di sebuah pasar raya di pekan Sungai Golok, telah  melarikan diri ke Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada pihak Thailand berkaitan siasatan kes berkenaan.

“Setakat ini, tiada permintaan rasmi daripada mereka untuk kita bantu siasatan. Dakwaan itu dibuat berdasarkan penemuan beberapa barangan di tepi sungai berhampiran sempadan kita, namun kita tetap akan semak dan siasat kemungkinan suspek berada di Malaysia.

“Kita sedia bekerjasama melalui saluran rasmi seperti Interpol atau mesyuarat dua hala keselamatan yang memang diadakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada 5 Okt lepas, media melaporkan sepuluh lelaki bersenjatakan raifal jenis M16 dan AK104 melarikan barang kemas bernilai hampir RM3.11 juta selepas merompak di pasar raya berkenaan.

Kejadian pada 6.30 petang (waktu tempatan Thailand) itu berlaku ketika orang ramai sedang membeli- belah di pasar raya berkenaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481052