KOTA BHARU, 21 Okt (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 47 unit kenderaan tidak bercukai membabitkan nilai lebih RM6.2 juta termasuk cukai dari Januari sehingga 16 Okt lepas.
Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata rampasan itu melibatkan pelbagai jenis dan jenama kenderaan mewah dipercayai dibawa masuk dari negara jiran tanpa melalui prosedur cukai sah.
Beliau berkata rampasan ini dilakukan di Kelantan, selain Kuala Lumpur dan Johor, menerusi pelbagai operasi dan risikan yang dijalankan termasuk di kawasan sempadan.
“Antara kenderaan yang dirampas adalah Volkswagen Beetle, Volvo S80, BMW 325i, Maserati Ghibli, Honda Jazz, Toyota Vellfire dan Mercedes Benz, yang dijual pada harga serendah RM53,000 sehingga RM185,000. Harga lebih murah 35 hingga 40 peratus berbanding pasaran.
“Sindiket terbabit menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapatkan pelanggan termasuk pengiklanan di media sosial, walaupun kenderaan tidak mematuhi prosedur pengimportan kerana tiada permit dan dokumen sah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Wan Jamal berkata rampasan kenderaan tidak bercukai itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA