TOKYO, 21 Okt (Bernama-Kyodo) -- Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah, Sanae Takaichi dipilih sebagai perdana menteri Jepun oleh Dewan Perwakilan pada Selasa, menjadikannya wanita pertama memimpin negara itu dengan sokongan parti sekutu baharu, Parti Inovasi Jepun (JIP), lapor Agensi Berita Kyodo.
Walaupun gabungan LDP dan JIP belum memiliki majoriti mutlak di dewan perwakilan, pemilihan Takaichi sebagai pengganti Shigeru Ishiba hampir pasti memandangkan parti pembangkang gagal meletakkan calon bersama.
Takaichi kini sedang menyusun barisan Kabinet baharu. Sumber rapat dengannya berkata beliau mungkin memilih Ahli Parlimen LDP Satsuki Katayama sebagai menteri kewangan.
Dengan melantik Katayama, iaitu bekas pegawai kanan Kementerian Kewangan dan bekas menteri hal ehwal pembangunan wilayah, Takaichi dilihat berhasrat menonjolkan pembaharuan dalam kerajaan pimpinan LDP menerusi penyertaan lebih ramai wanita dalam jawatan utama.
Beliau juga memutuskan untuk melantik Ahli Parlimen wanita LDP Kimi Onoda sebagai menteri keselamatan ekonomi serta Ryosei Akazawa, ketua perunding tarif Jepun dengan Amerika Syarikat, sebagai menteri perdagangan bagi memastikan kesinambungan rundingan dua hala.
Sumber itu menambah bahawa Takaichi bersedia menawarkan jawatan penting kepada empat pesaingnya dalam pemilihan kepimpinan LDP Oktober lalu, sebagai isyarat untuk mengekalkan perpaduan parti melalui Kabinet baharu.
Dengan kira-kira empat ahli Parlimen bebas dijangka menyokongnya, Takaichi yang berusia 64 tahun berkemungkinan memenangi pusingan pertama undian, yang memerlukan majoriti melebihi separuh untuk mengelakkan undian pusingan penentuan.
Gabungan LDP dan JIP — juga dikenali sebagai Nippon Ishin — turut tidak memiliki majoriti di "House of Councillors" , menyebabkan Takaichi perlu berhati-hati mendapatkan sokongan parti pembangkang lain bagi meluluskan rang undang-undang kerajaan.
Barisan Kabinet Ishiba yang ditubuhkan pada Okt 2024 telah meletak jawatan beramai-ramai selepas kehilangan majoriti dalam pilihan raya bagi kedua-dua dewan.
Undian bagi memilih perdana menteri diadakan selepas Takaichi, bekas menteri hal ehwal dalam negeri, memenangi pemilihan kepimpinan LDP pada 4 Okt, sekali gus membawa kepada penamatan kerjasama selama 26 tahun antara LDP dan parti Komeito serta mendorong LDP mencari sekutu baharu.
LDP dan JIP yang diketuai Gabenor Osaka Hirofumi Yoshimura bersetuju untuk membentuk gabungan, berikrar menyokong Takaichi dalam undian perdana menteri.
Namun JIP dijangka tidak akan memegang sebarang jawatan Kabinet, sebaliknya bertindak sebagai penasihat kepada perdana menteri.
Takaichi dilaporkan memilih Shinjiro Koizumi sebagai menteri pertahanan, manakala Toshimitsu Motegi dijangka dilantik sebagai menteri luar. Kedua-duanya merupakan pesaingnya dalam pemilihan kepimpinan LDP.
-- BERNAMA-KYODO