DUNIA

Ekonomi China Terus Berkembang Kukuh

21/10/2025 04:46 PM

BEIJING, 21 Okt (Bernama-CMG) -- Ekonomi China terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tiga suku pertama 2025 berkembang sebanyak 5.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Jurucakap Biro Statistik Negara (NBS) Fu Linghui berkata kadar pertumbuhan itu antara yang tertinggi dalam kalangan entiti ekonomi utama dunia, sekali gus memperlihatkan ekonomi China kekal sebagai sumber penting pertumbuhan global.

Data NBS menunjukkan dalam tiga suku pertama, nilai tambah industri pembuatan berteknologi tinggi meningkat 9.6 peratus dari tahun ke tahun.

Dalam pada itu, hasil pengeluaran peralatan percetakan 3D, robot perindustrian dan kenderaan tenaga baharu (NEV) masing-masing meningkat 40.5 peratus, 29.8 peratus dan 29.7 peratus, menjadikannya enjin utama pertumbuhan sektor perindustrian.

Dalam tempoh sama, transformasi industri tradisional China terus digerakkan secara menyeluruh, menyaksikan pelaburan dalam industri pembuatan meningkat sebanyak empat peratus.

Menurut Fu, pelaburan berkenaan lebih memfokuskan kepada penaiktarafan industri tradisional serta peralatan berteknologi tinggi.

"Sejak awal tahun ini, sektor seperti pembuatan automotif, kapal dan peralatan pengangkutan mengekalkan pertumbuhan pesat dan ia turut mencerminkan trend penaiktarafan sektor perindustrian China," kata beliau.

-- BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481108