KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, seiring dengan prestasi positif pasaran emas COMEX Amerika Syarikat (AS).
CIMB Investment Bank Bhd berkata persekitaran makroekonomi masih dipenuhi risiko, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik yang meningkat, ketidakseimbangan fiskal yang melebar, hala tuju dasar monetari yang berbeza-beza dan ketidakstabilan mata wang yang berterusan.
“Faktor-faktor ini terus menjejaskan prospek global. Kesannya ialah trajektori harga emas kekal cenderung meningkat, dengan sebarang penurunan sementara dijangka menarik semula minat belian daripada pelabur institusi dan runcit.
“Kami telah menyemak semula unjuran harga emas kepada paras yang lebih tinggi iaitu US$4,200 seauns menjelang akhir 2025 dan US$4,600 seauns menjelang akhir 2026 yang mencerminkan dinamik ini. Bagaimanapun, ketidaktentuan pasaran yang meningkat masih boleh mencetuskan pergerakan harga yang ketara sama ada ke atas atau ke bawah,” katanya dalam nota penyelidikan.
Kontrak bulan semerta Oktober 2025 meningkat kepada US$4,128.80 setiap auns troy daripada US$4,080.30, manakala kontrak November 2025 naik kepada US$4,145.50 setiap auns troy daripada US$4,097.00 dan kontrak Disember 2025 melonjak kepada US$4,160.80 setiap auns troy daripada US$4,113.90 ketika ditutup semalam.
Kontrak Januari 2026 menokok kepada US$4,177.80 setiap auns troy daripada US$4,130.90, manakala kontrak Februari 2026, April 2026 dan Jun 2026 masing-masing ditutup lebih tinggi kepada AS$4,194.40 setiap auns troy daripada US$4,147.20 sebelumnya.
Jumlah dagangan susut kepada 288 lot berbanding 1,111 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka menurun kepada 372 kontrak daripada 1,151 kontrak sebelumnya.
Harga emas fizikal berada pada US$4,070.00 setiap auns troy berdasarkan penetapan oleh London Bullion Market Association pada 22 Okt, 2025.
-- BERNAMA