AM

MAHB Buat Persiapan Rapi Sambut Ketua Negara, Delegasi Sidang Kemuncak ASEAN

23/10/2025 08:47 PM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 23 Okt (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melaksanakan persiapan rapi termasuk langkah keselamatan dan kesiapsiagaan protokol bagi menyambut ketibaan ketua-ketua negara serta delegasi sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur. 

Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata MAHB menjalinkan kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Luar, Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA) dan agensi kerajaan lain bagi memastikan aspek keselamatan dan sambutan mengikut protokol ditetapkan.

“Sebagai pengendali pintu masuk utama negara, MAHB komited memastikan pengalaman ketibaan yang lancar, selamat dan mesra,” katanya kepada Bernama.

Mohd Izani berkata persiapan dan kesiapsiagaan khusus dilaksanakan merangkumi usaha menaik taraf bilik orang kenamaan (VIP) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Kompleks Bunga Raya.

“Turut dilaksanakan penyusunan ketibaan delegasi melalui penerbangan komersial dari KLIA Terminal 1 dan 2 ke Kompleks Bunga Raya, penyediaan laluan imigresen khas untuk delegasi, serta penempatan kaunter sambutan,” katanya.

Mohd Izani berkata ketika ini Kompleks Bunga Raya dan Ruang Menunggu VIP di lapangan terbang selain KLIA turut dinaik taraf dan dihias dengan elemen budaya, identiti dan tradisi Malaysia. 

Beliau berkata MAHB terus melaksanakan inisiatif untuk menampilkan seni budaya dan warisan Malaysia di lapangan terbang bukan sahaja bagi menyambut delegasi ASEAN, tetapi juga sebagai persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Inisiatif kebudayaan yang dilaksanakan termasuk pembukaan Heritage Lane, pertunjukan seni di KLIA, serta tarian tradisional di terminal lapangan terbang,” katanya. 

Selain itu, bahan promosi ASEAN 2025 turut dipaparkan melalui skrin Flight Information Display System (FIDS), platform media sosial rasmi, dan KLIATV.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini.

 Lebih 30 ketua negara dan kerajaan akan berhimpun di ibu negara untuk membincangkan pelbagai isu menyentuh keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

-- BERNAMA

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482196