AM

Cerun Runtuh, Jalan Tun Sardon Ditutup Sepenuhnya

23/10/2025 09:27 PM

GEORGE TOWN, 23 Okt (Bernama) -- Satu kejadian runtuhan cerun dilaporkan berlaku di Jalan Tun Sardon (Bukit Baru), di sini, petang ini berikutan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.

Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 5 petang itu turut menyebabkan beberapa pokok tumbang hingga menghalang laluan kenderaan di kawasan berkenaan.

Berikutan insiden tersebut, jalan utama yang menghubungkan Balik Pulau dan Paya Terubong itu terpaksa ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan selepas ditimbuni tanah serta pokok, sekali gus menimbulkan risiko kepada pengguna jalan raya.

Detik cemas kejadian turut dirakam melalui kamera papan pemuka sebuah kenderaan yang kebetulan melalui kawasan berkenaan. Berdasarkan rakaman yang tular di media sosial, kenderaan terbabit sempat mengelak dan berhenti sejurus runtuhan berlaku.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis memberitahu tiada mangsa mahu pun kenderaan dilaporkan terbabit dalam kejadian itu.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.56 petang sebelum menggerakkan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau dengan bantuan BBP Paya Terubong ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba bomba mendapati berlaku runtuhan tanah dari cerun bukit ke atas jalan raya dengan keluasan dianggarkan 30 x 20 kaki persegi (kps) di bahagian bawah. KJerja-kerja pembersihan dan pengalihan pokok tumbang dilakukan bagi memastikan keselamatan di lokasi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari menerusi hantaran di Facebook mengesahkan kejadian dan menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang semula perjalanan mereka berikutan laluan berkenaan ditutup sepenuhnya.

““Bagi kenderaan yang masih berada di laluan berkenaan, diminta berpatah balik dan menggunakan jalan alternatif lain,” katanya.

Zairil berkata pasukan tindak balas negeri turut digerakkan ke lokasi bagi menilai tahap risiko serta memastikan keselamatan orang awam terjamin.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482195