AM

Budaya Menabung Jamin Pendidikan Anak Tanpa Beban Hutang

22/10/2025 10:15 AM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Budaya menabung merupakan asas kestabilan kewangan keluarga terutamanya dalam menyediakan perbelanjaan pendidikan tinggi yang semakin meningkat, kata Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Ahmad Dasuki berkata ibu bapa yang memulakan tabiat menabung sejak awal bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan pada masa hadapan, malah berupaya memastikan kelangsungan pembelajaran anak-anak tanpa sebarang gangguan kewangan.

"PTPTN sejak 2004 telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengubah minda masyarakat daripada hanya bergantung terhadap pinjaman kepada amalan menabung melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN)," katanya dalam program Perspektif Bukan Persepsi (POV) bertajuk “Menabung Bukan Beban, Tapi Satu Permulaan” terbitan Bernama Radio hari ini.

Ahmad Dasuki berkata lebih enam juta akaun Simpan SSPN dibuka setakat ini dengan keistimewaan termasuk dividen kompetitif sebanyak 4.05 peratus bagi 2024, pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun dan perlindungan takaful percuma untuk pendeposit Simpan SSPN Prime yang mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,000.

“Simpan SSPN ini adalah produk simpanan terbaik di dunia, kerana selain memberi pulangan ia turut menyediakan perlindungan takaful Ringgit ke Ringgit, sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal (hilang upaya), waris akan menerima jumlah simpanan yang sama secara percuma,” katanya.

Beliau berkongsi kisah sebenar manfaat Simpan SSPN apabila waris kepada seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang meninggal dunia pada Mei lepas akibat kemalangan menerima manfaat takaful keseluruhan berjumlah RM193,000, hasil gabungan akaun Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus milik anggota berkenaan.

"Walaupun jumlah ini tidak dapat menggantikan kehilangan insan tersayang, ia mampu memastikan anak-anak yang ditinggalkan mempunyai dana pendidikan yang mencukupi,” katanya.

Selain itu, Ahmad Dasuki berkata kerajaan turut memperkenalkan Geran Sepadan dan Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI) melalui Belanjawan 2025 yang menawarkan insentif tambahan sehingga RM10,000 bagi keluarga berpendapatan RM4,000 ke bawah, manakala sehingga RM5,000 untuk keluarga berpendapatan antara RM4,000 hingga RM6,000.

Pada masa yang sama, PTPTN sedang menganjurkan kempen tahunan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 dari 26 Sept hingga 2 Nov bersempena sambutan Hari Tabungan Sedunia pada 31 Okt ini.

Beliau berkata PTPTN juga menganjurkan kempen bertema ‘Pengembaraan’ dengan tagline 'Jom Jadi Superhero Anak Anda' yang mengajak ibu bapa menjadi superhero sebenar dengan bukan sekadar mendidik, tetapi merancang kewangan anak sejak awal.

Bagi menggalakkan amalan menabung, PTPTN menganjurkan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 bermula 1 Julai hingga 31 Okt ini yang menawarkan hadiah bernilai lebih RM200,000 kepada 130 pemenang termasuk hadiah utama RM30,000 dan pendeposit yang membuat simpanan melalui aplikasi myPTPTN layak menerima peluang cabutan berganda.

“Pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan bersih RM100 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus akan mendapat lima cabutan, manakala pendeposit Simpan SSPN Plus yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus mendapat 10 cabutan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481305