KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Yayasan IOI telah menganugerahkan biasiswa bernilai RM344,000 kepada tujuh pelajar cemerlang dan berpotensi tinggi pada Majlis Anugerah Biasiswa IOI 2025 yang diadakan pada 17 Okt.
Majlis tersebut berlangsung di ibu pejabat IOI Corporation Berhad dan dihoskan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOI Corporation Tan Kean Hua, bersama Pengarah Eksekutif Yayasan IOI Joanne Wong.
Yayasan IOI dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa biasiswa itu, akan menampung pengajian tinggi penerima dalam bidang kejuruteraan kimia, teknologi maklumat dan pertanian, yang merupakan bidang penting bagi pertumbuhan mampan Malaysia.
“Melalui program tahunan ini, Yayasan IOI terus memupuk bakat muda dan memperkasakan bakal pemimpin masa hadapan, bagi memastikan pendidikan kekal sebagai laluan penting kepada peluang, kemajuan dan pembangunan.
“Sebagai cabang tanggungjawab sosial Kumpulan IOI, yayasan ini terus memperkaya kehidupan dengan berkongsi kemakmuran, dengan memberi tumpuan kepada pendidikan, bantuan perubatan, pemerkasaan komuniti dan perusahaan sosial,” menurut kenyataan itu.
Sejak penubuhannya pada tahun 1998, Yayasan IOI telah menyalurkan biasiswa berjumlah RM12.15 juta kepada 363 pelajar, mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan IOI terhadap pendidikan dan pembangunan komuniti.
Sehingga kini, yayasan yang sebelum ini dikenali sebagai Yayasan Tan Sri Lee Shin Cheng, telah menyalurkan sejumlah RM67.12 juta kepada pelbagai program komuniti setakat Jun tahun ini.
Bagi tahun kewangan 2025 (FY2025) sahaja, Yayasan IOI telah menyalurkan RM1.7 juta kepada 146 penerima, merangkumi individu dan organisasi.
Inisiatif pendidikan lain yang memberi impak termasuk projek penambahbaikan dan pembaikan sekolah, Program Pengambilan Pelajar, Kem Kepimpinan Belia IOI, serta pelbagai usaha lain yang bertujuan memberi inspirasi dan memperkasakan generasi muda untuk membina masa depan yang lebih cerah.
-- BERNAMA