PASARAN

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

22/10/2025 01:56 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih rendah, manakala prestasi pasaran serantau bercampur-campur dalam persekitaran sentimen positif yang disokong oleh jangkaan bahawa ketegangan perdagangan antara China dan AS akan reda.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 4.28 mata atau 0.26 peratus kepada 1,612.55 daripada 1,616.83 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.73 mata kepada 1,617.56 dan bergerak antara 1,610.41 dan 1,617.56 sepanjang sesi pagi.

Pasaran lebih luas adalah negatif dengan 619 kaunter rugi mengatasi 275 kaunter untung manakala 443 kaunter tidak berubah, 1,356 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 2.06 bilion unit bernilai RM1.12 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI seperti yang dijangkakan, meningkat melebihi paras 1,615, disebabkan oleh aktiviti belian semasa harga rendah.

"Kami percaya institusi tempatan kekal sebagai pembeli utama dalam persekitaran ekonomi domestik yang bertambah baik. Oleh itu, kami menjangkakan indeks akan berada dalam dalam julat 1,615-1,625 hari ini," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Press Metal turun sembilan sen kepada RM6.13, Public Bank merosot lima sen kepada RM4.22, YTL Corporation berkurangan empat sen kepada RM2.51, manakala Maybank dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM9.90 dan RM8.30.

Bagi saham paling aktif, Verdant Solar menambah 6.5 sen kepada 37.5 sen, Tanco meningkat satu sen kepada 88 sen dan TWL melonjak setengah sen kepada tiga sen manakala Perak Transit turun 26.5 sen kepada 37 sen, Aizo tidak berubah pada lapan sen.

Antara saham paling untung, United Plantations naik 48 sen kepada RM24.14, Fraser & Neave melonjak 18 sen kepada RM28.32, MISC menokok 12 sen kepada RM7.36, LPI Capital meningkat 10 sen kepada RM14.32 dan Telekom Malaysia menambah lapan sen kepada RM7.26.

Bagi saham paling rugi, Hong Leong Bank turun 24 sen kepada RM20.72, Petronas Dagangan merosot 14 sen kepada RM22.40, Nestle berkurangan 10 sen kepada RM109.40 dan Ayer Holdings turun sembilan sen kepada RM7.40.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 28.46 mata kepada 12,054.24, Indeks FBMT 100 susut 23.06 mata kepada 11,790.33, dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 10.16 mata kepada 12,147.29, Indeks FBM ACE berkurangan 32.74 mata kepada 5,278.69, bagaimanapun Indeks FBM 70 naik 2.31 mata kepada 17,117.24.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 72.17 mata kepada 18,181.31, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.29 mata kepada 170.92, dan Indeks Tenaga susut 4.44 mata kepada 787.84 manakala Indeks Perladangan meningkat 5.35 mata kepada 7,902.42.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481415