KUCHING, 22 Oktober (Bernama) -- Sarawak terus meningkatkan penggunaan digital di semua peringkat kerajaan, perniagaan dan masyarakat melalui pelancaran SarawakPass.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata SarawakPass merupakan evolusi seterusnya dalam perjalanan tadbir urus digital negeri itu, yang sebelum ini dikenali sebagai SarawakID.
Beliau berkata platform baharu itu menggabungkan ciri identiti digital yang dipertingkat, keselamatan Prasarana Kunci Awam (PKI), dompet digital serta integrasi MyBenefit, sekali gus menyediakan satu gerbang dipercayai untuk perkhidmatan digital Sarawak.
“SarawakPass mencerminkan panduan utama kita iaitu, ‘satu identiti, pelbagai peluang’, memastikan akses yang selamat, lancar dan mudah kepada ekosistem digital kerajaan untuk setiap rakyat Sarawak.
“Inovasi ini melambangkan visi kita yang lebih besar - sebuah kerajaan yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana jua, berasaskan kepercayaan, kecekapan dan keterangkuman,” katanya pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) Ke-8 di sini hari ini.
Abang Johari berkata bagi memacu fasa seterusnya dalam perjalanan digital negeri itu, kerajaan turut menubuhkan Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) sebagai pusat inovasi untuk penyelidikan, pembangunan bakat dan kerjasama industri.
“SAIC akan mempercepatkan penerapan AI dalam sektor-sektor utama, daripada tenaga pintar dan pertanian persis kepada perancangan bandar dan logistik, sekali gus memastikan Sarawak kekal di hadapan dalam era transformasi pintar,” katanya.
Beliau berkata pendigitalan perkhidmatan kerajaan sedang berjalan lebih awal berbanding jadual, melepasi 62 peratus tahun ini dan berada pada landasan untuk mencapai akses digital penuh menjelang 2030.
-- BERNAMA