AM

LKIM Salur RM850,000 Perkasa Komuniti Nelayan Perak

22/10/2025 08:21 PM

TAIPING, 22 Okt (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyalurkan peruntukan berjumlah RM850,000 bagi membantu meningkatkan kecekapan pengeluaran hasil komuniti nelayan di Perak, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Zolkafly Harun. 

Beliau berkata bantuan itu melibatkan pelbagai insentif serta pembangunan projek termasuk ternakan kerang dan ketam nipah, yang penting bagi memastikan bekalan makanan sektor perikanan mencukupi selaras dengan tumpuan terhadap sekuriti makanan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.

“Sebanyak RM450,000 disalurkan dalam bentuk peralatan seperti enjin sangkut, tong insulasi, jaket dan lampu keselamatan serta baju hujan kepada nelayan di kawasan Kerian, Matang serta Sungai Tinggi.

“Selebihnya disalurkan dalam bentuk zakat serta pembangunan Projek Ternakan Kerang Persatuan Nelayan Negeri Perak (PENGGERAK) dan Projek Ternakan Ketam Nipah Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Tinggi, Larut Matang Selama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pemerkasaan Persatuan Nelayan dan Kelestarian Sumber Laut di Jeti LKIM Sungai Kerang, Sungai Tinggi, di sini hari ini.

Selain itu, Zolkafly berkata kerajaan negeri akan memperluas kawasan ternakan kerang di Bagan Datuk dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk LKIM, melibatkan keluasan lebih 1,200 hektar menjelang tahun depan bagi memastikan Perak terus kekal antara penyumbang utama pengeluaran hasil laut itu.

Mengulas isu Lesen Pendudukan Sementara (TOL) penternakan kerang di Larut Matang Selama (LMS) dan Kerian yang telah lama berlarutan, beliau berkata keutamaan pengeluaran TOL perlu berpandu kepada tahap pengeluaran hasil bagi memastikan kawasan itu diurus secara teratur serta produktif.

“Di pihak kerajaan negeri, kita meminta pejabat daerah dan tanah yang terlibat untuk membuat perincian serta memberi keutamaan kepada mereka yang benar-benar aktif mengusahakan penternakan itu, diberikan lesen yang sah. 

“Perkara ini telah dibawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Akuakultur Negeri dan kita harap dapat diatasi secepat mungkin dengan sebaiknya,” katanya.

Pada 27 Jan, Pengerusi Persatuan Nelayan Sungai Tinggi, Trong, Abu Salim Karim berkata lebih 250 penternak kerang di sepanjang pesisir Kuala Sepetang (LMS) hingga Bagan Panchor (Kerian) meminta kerajaan negeri campur tangan isu permohonan TOL yang tertangguh sejak penghujung 2019.

Abu Salim berkata tanpa TOL, pihak berkuasa tidak dapat bertindak ke atas kecurian di kebun penternakan kerang mereka yang didakwa menyebabkan kerugian lebih RM500,000 sebulan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481659