AM

"Pesta" Cari Kerang Di Pantai Klebang Kurang Meriah Selepas Dakwaan Penampakan Buaya

22/10/2025 09:26 PM

MELAKA, 22 Okt (Bernama) -- Lokasi pencarian kerang di Pantai Klebang yang sebelum ini menjadi tumpuan ratusan orang, hari ini dilihat kurang meriah dipercayai susulan dakwaan penampakan buaya di pantai berkenaan baru-baru ini.

Peniaga goreng pisang berhampiran lokasi pencarian kerang, Maimun Abu Bakar, 60, berkata khabar kemunculan 'sang bedal' di kawasan pantai itu menyebabkan jumlah orang ramai yang turun ke pantai mencari karangan laut itu berkurang disebabkan faktor keselamatan.

"Memang hari ini dan semalam dah tak ramai datang sini untuk kutip kerang, mungkin sebab mereka takut dengan buaya seperti yang tular di media sosial sebelum ini.

"Boleh jadi juga disebabkan jumlah kerang sudah berkurang...sebelum ini beratus orang turun sehari cari kerang dan hampir semuanya dapat hasil," katanya ketika tinjauan Bernama di Pantai Klebang di sini hari ini.

Maimun berkata pihak berkuasa diharap dapat terus menjalankan pemantauan di kawasan itu atau meletakkan tanda amaran berkaitan buaya agar orang ramai maklum perkara tersebut sekali gus lebih berhati-hati untuk turun ke pantai mencari kerang.

Seorang pengunjung, Suriani Akhbar, 44, dari Tanjung Kling berkata hari ini kali pertama dia turun ke pantai berkenaan untuk mencari kerang dan tidak mengetahui tentang kemunculan buaya di kawasan itu.

"Patutlah tak nampak ramai yang turun mencari kerang sedangkan sebelum ini tengok di media sosial beratus orang memenuhi kawasan ini. 

"Dah sampai sini, saya turun juga tapi sekadar di pinggir pantai...takut kalau memang betul ada buaya," kata suri rumah itu yang datang ke pantai berkenaan bersama seorang lagi rakannya.

Azmi Tahir, 36, dari Semabok pula mengakui pada mulanya teruja untuk mencari kerang tetapi membatalkan niatnya selepas mendengar cerita tentang buaya di pantai itu daripada peniaga setempat dan orang awam. 

“Siapa tidak mahu benda percuma lebih-lebih lagi harga kerang sekarang mahal tetapi tidaklah sampai perlu mempertaruh nyawa,” katanya yang datang kali pertama ke pantai itu hari ini.

Semalam, media melaporkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka menasihatkan orang ramai mengelak melakukan sebarang aktiviti air di kawasan dilaporkan terdapat penampakan buaya di Pantai Klebang hingga keadaan disahkan selamat.

Perhilitan Melaka memaklumkan menerima laporan daripada orang awam berkaitan penampakan buaya dan telah menjalankan siasatan di lokasi bagi mendapatkan pengesahan kehadiran reptilia itu, tetapi setakat ini tiada tangkapan atau penemuan fizikal buaya direkodkan dan pemantauan akan diteruskan. 

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481627