KUALA LUMPUR, 22 Okt Bernama) -- Maxis mengumumkan kerjasama strategik dengan penyedia penyelesaian telekomunikasi global Globe Teleservices Pte Ltd (GTS) untuk melaksanakan tembok api (firewall) berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang bersepadu bagi trafik pemesejan dan suara di seluruh rangkaian Maxis di Malaysia.
Maxis dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan hujung-ke-hujung yang diurus sepenuhnya itu direka untuk meningkatkan keselamatan dan kualiti rangkaian bagi jutaan pelanggan sambil mempertingkatkan integriti trafik pemesejan antarabangsa yang disalurkan ke dalam negara.
“Di bawah inisiatif ini, Maxis dan GTS akan mentakrif serta menguatkuasakan dasar tembok api (firewall) bagi pemesejan dan trafik suara antarabangsa yang tamat di rangkaian Maxis.
“Dikuasakan oleh AI dan pembelajaran mesin (ML) maju yang memanfaatkan trafik global yang diagregat, tembok api Armour daripada GTS menyediakan mitigasi penipuan yang pantas dengan pemantauan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan pengujian berterusan.
“Ia direka untuk menyekat spam dan cubaan pintasan mesej antarabangsa yang datang melalui saluran tidak rasmi (grey routes) serta operasi penipuan berskala besar seperti ladang SIM,” menurut kenyataan itu.
Maxis memaklumkan hasilnya ialah perlindungan rangkaian yang lebih kukuh dan komunikasi tanpa gangguan untuk pengguna Maxis.
Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis Prateek Pashine berkata kepercayaan serta pengalaman pelanggan merupakan teras kepada Maxis, dan kerjasama dengan GTS memperkukuh pertahanan mesej dan suara antarabangsa mereka, dengan kawalan berkuasa AI dan pemantauan berterusan.
“Ini memastikan mesej penting sampai kepada pelanggan dengan pantas dan selamat, memberikan perniagaan jaminan penghantaran yang lebih kukuh dan pengalaman lebih selamat kepada pengguna mudah alih kami, semuanya di rangkaian kami yang pantas, boleh dipercayai dan selamat.” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GTS Ashutosh Agrawal berkata mereka berbangga bekerjasama dengan Maxis untuk melindungi saluran mesej dan suara pada skala besar.
“Tembok api Armour berdaya AI kami menggabungkan pengesanan ancaman pintar dengan kepakaran penyampaian global untuk melindungi rangkaian, sekali gus meningkatkan pengalaman pelanggan dan nilai yang sering hilang akibat penipuan dan pintasan,” katanya.
Menerusi kerjasama itu, Maxis dan GTS memperkukuh asas ekosistem keterhubungan dan digital yang lebih selamat serta berkualiti tinggi di Malaysia yang menyokong inovasi, selaras dengan tumpuan Malaysia terhadap keselamatan siber dan aspirasi menjadi negara AI, yang merupakan antara keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
-- BERNAMA