KOTA TINGGI, 22 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 51 tahun kerugian sebanyak RM380,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp dengan janji pulangan lumayan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata mangsa, telah ditawarkan pelaburan berkenaan oleh seorang individu yang baru dikenali di aplikasi tersebut.
Beliau berkata modus operandi skim itu ialah menjanjikan mangsa keuntungan sehingga 50 peratus daripada jumlah wang dilaburkan dalam tempoh hanya satu minggu.
“Tertarik dengan keuntungan tersebut, mangsa telah membuat lapan transaksi ke dalam dua akaun yang berbeza untuk pelaburan itu bermula 10 Okt hingga 15 Okt, dengan keseluruhan berjumlah RM380,000.
“Namun ketika mangsa menghubungi suspek semalam (21 Okt) untuk menuntut wang hasil pelaburan itu, suspek tidak mahu memberikannya malah meminta mangsa menambah wang pelaburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yusof berkata selepas menyedari dirinya telah ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan skim pelaburan yang tidak sah atau tidak berdaftar.
-- BERNAMA