KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (SOM) dan sesi persediaan berkaitan bermula hari ini sekali gus membuka laluan bagi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 28 Okt ini.
Sesi berkenaan, yang dijadual berlangsung sehingga petang, bakal memberi peluang kepada libat urus peringkat tinggi kementerian bermula Jumaat ini, sebelum majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Serentak dengan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Wakil Tetap (CPR) kepada ASEAN, yang turut dihadiri oleh Duta Timor-Leste ke ASEAN Natercia Cipriana Coelho da Silva dan Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) Datuk Astanah Abdul Aziz.
Mesyuarat CPR akan mengkaji kemajuan ketiga-tiga tonggak ASEAN iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya di samping menyelaras hasil yang akan diterima pakai sepanjang minggu sidang kemuncak.
Sementara itu, sesi petang akan diisi dengan Mesyuarat Bersama SOM-SEOM ASEAN (Mesyuarat Pegawai Kanan Ekonomi) dan Majlis Makan Malam bagi Pemimpin SOM ASEAN, Pemimpin SOM Timor-Leste serta Timbalan Setiausaha Agung APSC ASEAN yang dihoskan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar merangkap Pemimpin SOM Malaysia Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijangka menjadi antara mesyuarat terbesar dalam sejarah blok serantau itu, yang berfungsi sebagai platform penting ke arah memperkukuh kerjasama serantau di samping menangani cabaran serantau dan global secara padu serta menyeluruh.
Sidang kemuncak itu juga bakal menyaksikan penglibatan aktif Timor-Leste dalam usahanya untuk menjadi anggota ke-11 ASEAN, yang dijangka diumumkan pada 26 Okt ini.
Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan dalam tempoh ekonomi global terjejas oleh tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.
Ia termasuk Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-26 dan para pegawai akan meneliti Pelan Tindakan AEC 2025 yang memberi tumpuan kepada kesalinghubungan dipertingkatkan, kerjasama sektoral, pembentukan komuniti berteraskan rakyat dan integrasi rantau ini kepada ekonomi global.
Selain itu, pegawai kanan ekonomi dan pakar dari negara-negara anggota ASEAN dijangka berhimpun untuk mesyuarat ASEAN Geoeconomics Task Force (AGTF) Experts+4, yang termasuk Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) serta Boston Consulting Group bagi membincangkan strategi untuk menangani cabaran geoekonomi global yang meningkat dan isu tarif.
Selain para pemimpin ASEAN, lebih 20 pemimpin terkemuka dunia dijadual menghadiri sidang kemuncak itu termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Perdana Menteri India Narendra Modi, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Presiden Kesatuan Eropah Antonio Costa dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi.
Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967 selepas 2015, 2005, 1997 dan 1977.
-- BERNAMA