Oleh Niam Seet Wei
KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Tarif, nadir bumi dan mineral penting lain dijangka menjadi antara topik utama perbincangan semasa lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini, kata ahli ekonomi Dr Goh Lim Thye.
Goh, pensyarah kanan ekonomi di Universiti Malaya, berkata walaupun belum ada tanda-tanda yang sah bahawa AS akan menarik balik tarif terhadap eksport Malaysia, termasuk farmaseutikal dan perabot, isu tarif dijangka menjadi agenda penting dalam perbincangan dua hala semasa sidang kemuncak itu.
“Saya yakin Malaysia akan berunding sehabis baik untuk pelepasan tarif bagi sektor khusus dan mekanisme semakan, menumpukan kepada industri dengan pengeluaran nilai tambah yang memberikan manfaat kepada kedua-dua ekonomi,” katanya kepada Bernama.
Goh berkata walaupun pengecualian penuh atau penghapusan tarif secara serta-merta nampaknya tidak mungkin namun komitmen AS untuk menyemak kadar sedia ada atau terlibat dalam rundingan berstruktur telah menunjukkan satu langkah konstruktif ke hadapan.
“Malah isyarat positif bagi fleksibiliti boleh membantu memulihkan keyakinan perniagaan dan menggalakkan pelaburan dalam asas pembuatan Malaysia, yang kini sedang menyesuai dengan penjajaran semula rantaian bekalan global,” katanya.
Pada masa ini, AS mengenakan tarif umum pada kadar umum 19 peratus terhadap eksport dari Malaysia.
Pada 25 Sept, 2025, Trump mengumumkan AS akan mengenakan tarif pada kadar 100 peratus terhadap mana-mana produk farmaseutikal berjenama atau yang dipatenkan berkuat kuasa 1 Okt, 2025, melainkan syarikat berkenaan membina kilang pembuatan farmaseutikal di AS.
Pada masa sama, Trump turut mengumumkan berkuat kuasa pada tarikh yang sama, Washington akan mengenakan tarif berkadar 50 peratus le atas semua kabinet dapur, kelengkapan bilik mandi dan produk berkaitan, serta tambahan, mengenakan tarif sebanyak 30 peratus ke atas perabot upholsteri, yang Malaysia tidak terkecuali.
Malaysia Tekad Kekalkan Status Pengecualian Tarif Semikonduktor
Mengenai eksport semikonduktor, Goh berkata Malaysia kini menikmati pengecualian tarif berdasarkan tinjauan keselamatan negara AS, dan pengecualian itu mencerminkan peranan Malaysia sebagai nod yang dipercayai dalam rantaian bekalan elektronik global.
“Memandangkan kebergantungan komersial yang terlalu besar antara syarikat teknologi AS dan pembuatan Malaysia, saya yakin Malaysia akan berusaha mengekalkan status sifar duti ini melalui rundingan di peringkat kerajaan dan industri.
“Ini menjadi kepentingan kedua-dua negara untuk mengekalkan aliran perdagangan semikonduktor yang stabil, sekali gus menyokong kerjasama ekonomi digital dan teknologi yang meluas,” katanya.
Goh berkata walaupun sebarang pelarasan tarif oleh AS pada masa hadapan tidak boleh diketepikan, namun usaha mengekalkan pengecualian sedia ada akan memberi isyarat kesinambungan dan keyakinan mengenai sumbangan Malaysia kepada ekosistem teknologi global.
Nadir Bumi: Fokus Utama dalam Usaha AS Pelbagaikan Sumber
Mengenai nadir bumi, Goh menjangkakan perkara itu akan menjadi topik utama pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 memandangkan AS berusaha untuk mempelbagaikan penyumberan dan mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran tunggal.
Beliau berkata peranan Malaysia dalam bidang itu tertumpu kepada aspek penapisan dan pemprosesan hiliran, disokong oleh operasi sedia ada seperti loji nadir bumi Lynas dari Australia di Pahang.
“Meskipun Malaysia bukanlah pengeluar utama bijih nadir bumi, kapasiti pemprosesannya menjadikan negara ini penggiat penting dalam rantaian bekalan serantau.
“Perkara ini dijangka dibangkitkan dalam perbincangan ekonomi secara meluas antara AS-ASEAN yang menumpukan kepada jaminan bekalan input penting bagi industri termaju serta memperkukuh laluan bekalan alternatif di seluruh Asia Tenggara,” katanya.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Acara itu akan menghimpunkan kalangan pemimpin utama dari 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk AS, China, Korea Selatan, Jepun dan India.
Pada Rabu (23 Oktober), Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa Presiden AS Donald Trump dijadual tiba di Malaysia pada 26 Oktober.
Lawatan itu merupakan kunjungan pertama Trump ke Asia sejak menjadi Presiden AS buat kali kedua pada Januari 2025 dan kunjungan pertama Presiden AS ke Malaysia sejak lawatan Barack Obama pada 2015.
Selain Trump, pemimpin terkemuka seperti Perdana Menteri China Li Qiang, Perdana Menteri India Narendra Modi, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Presiden Majlis Eropah António Costa dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi menjadi antara lebih 20 pemimpin dunia yang dijadualkan menghadiri sidang kemucak berprofil tinggi itu.
-- BERNAMA