AM

Modi Tekad Perkukuh Hubungan ASEAN-India Di Bawah Kepengerusian Malaysia

23/10/2025 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri India Narendra Modi menegaskan tekadnya untuk memperkukuh hubungan ASEAN-India, sambil menyatakan beliau menantikan penyertaannya secara maya dalam Sidang Kemuncak ASEAN-India serta memperdalamkan lagi Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).

Dalam satu hantaran di platform X, Modi berkata beliau telah mengadakan perbualan mesra dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang beliau mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, serta menyampaikan ucapan selamat bagi kejayaan sidang kemuncak yang bakal berlangsung.

“Saya menantikan penyertaan secara maya dalam Sidang Kemuncak ASEAN-India, dan untuk memperkukuh lagi Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-India,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), menghimpunkan lebih 30 ketua negara dan kerajaan bagi membincangkan keamanan serantau, ketahanan ekonomi serta pertumbuhan inklusif.

Anwar dalam kenyataan terdahulu berkata Modi memaklumkan keputusannya untuk menyertai sidang kemuncak secara maya berikutan sambutan perayaan Deepavali di India, dan kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan Malaysia-India ke tahap yang lebih strategik dan menyeluruh.

Beliau berkata India kekal sebagai rakan penting bagi Malaysia dalam bidang perdagangan, pelaburan, teknologi, pendidikan dan keselamatan serantau, dan Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama ASEAN-India ke arah rantau yang lebih aman dan makmur.

Semasa lawatan rasmi tiga hari beliau ke India pada Ogos tahun lepas, Anwar mengumumkan bahawa Malaysia dan India telah bersetuju untuk meningkatkan hubungan mereka daripada Perkongsian Strategik Dipertingkat (ESP) kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482040