AM

ASEAN Bersedia Perkukuh Integrasi Ekonomi - Mohamad Hasan

23/10/2025 04:42 PM

Oleh Kuvineshwaren Nedunjelian

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- ASEAN sedang mempertingkatkan usaha memperkukuh integrasi ekonomi dan kesalinghubungan serantau dengan memberikan tumpuan lebih besar untuk mengubah perancangan dan perjanjian kepada tindakan sebenar, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata lebih 80 keberhasilan meliputi Memorandum Persefahaman (MoU) dijangka dibincangkan dan diumumkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, mencerminkan komitmen blok ini untuk memajukan Visi ASEAN 2045.

“Perkara utama bagi ASEAN ialah kita mahu memastikan visi ini bagi 2045. Malaysa akan menjadi Peneraju Utama bagi visi ini. Kita mahu memastikan agenda Komuniti ASEAN 2045 dilaksanakan secara berfasa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika melawat Pusat Media Antarabangsa sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Fasa pertama bagi agenda Visi 2045 akan mengutamakan kesalinghubungan manakala fasa kedua pula menekankan usaha melonjakkan aktiviti ekonomi intra-ASEAN, katanya.

“Perdagangan intra-ASEAN masih amat rendah, kurang daripada 25 peratus. Kita mahu memastikan ASEAN atau Malaysia dalam hal ini tidak terlalu bergantung kepada rakan tradisional. Kita mahu memperluas pasaran dan jalinan persahabatan kita,” katanya.

Mohamad berkata ASEAN juga berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan blok ekonomi yang pesat membangun seperti BRICS di samping akan mengadakan semula perbincangan mengenai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang kali terakhir diadakan pada 2020.

Sebagai sebahagian agenda ekonomi, ASEAN juga akan menambah baik rangka kerja perdagangan dengan China melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN- China 3.0.

“Kita mahu melancarkan perdagangan dan pelaburan antara China dan negara anggota ASEAN. Kita tidak mahu bersaing sesama sendiri. Kita mesti sehaluan dan menawarkan insentif yang sama supaya ASEAN sebagai satu blok mempunyai suara yang lebih lantang dan pengaruh yang lebih luas di peringkat antarabangsa,” katanya.

Mengenai Visi ASEAN 2045 dengan aspirasi ke arah ‘Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti’, Mohamad berkata tema ASEAN 2025 iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ kekal sebagai cabaran utama namun blok ini sedang bergerak ke arah perpaduan yang lebih kukuh.

“Sebelum kita boleh bercakap sebagai satu suara, kita perlu menyelaraskan semua perkara terlebih dahulu. Bukan dari segi ekonomi semata-mata malah juga dari segi keterangkuman dan kemampanan yang menjadi tema kita tahun ini,” katanya.

Beliau berkata kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN pada sidang kemuncak kali ini akan membuka lembaran baharu bagi blok ini.

“ASEAN dibentuk berasaskan platform politik untuk melindungi negara anggota daripada pengaruh luar, tetapi kini ASEAN lebih menumpukan kepada kerjasama ekonomi,” katanya.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 mengangkat ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ sebagai tema bagi tahun ini, dan akan menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dari 26 hingga 28 Oktober di KLCC.

Acara itu dijangka menjadi antara mesyuarat terbesar dalam sejarah ASEAN, berperanan sebagai platform penting untuk menggalakkan kerjasama yang lebih kukuh di samping menangani isu serantau dan global secara menyeluruh serta inklusif.

Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN bagi kali kelima untuk tahun ini sejak penubuhan perkumpulan itu pada 1967, selepas menerajuinya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.

Filipina akan mengambil alih kepengerusian ASEAN dari Malaysia pada 2026.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482046