AM

Pasport Menantu Muhyiddin Telah Dibatalkan - Saifuddin Nasution

23/10/2025 04:52 PM

PUTRAJAYA, 23 Okt (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan pasport milik menantu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan telah dibatalkan.

Saifuddin Nasution berkata ia susulan permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membatalkan pasport individu yang dikendaki itu.

"Saya difahamkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bahawa SPRM pernah mengangkat permohonan untuk membatalkan pasport individu tersebut dan hal itu telah pun dilaksanakan. Itu saya boleh sahkan," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata berkata polis serta JIM akan membantu membawa pulang Muhammad Adlan, yang kini dipercayai berada di luar negara, bagi tujuan siasatan SPRM.

"Individu tersebut sememangnya dikehendaki untuk tujuan siasatan oleh SPRM. Jadi, bagaimana dua agensi di bawah KDN iaitu JIM dan Polis boleh membantu untuk membawa pulang, itu keutamaan kami," katanya.

Saifuddin Nasution berkata pihaknya juga akan menyemak bagaimana Muhammad Adlan boleh bergerak di luar negara sedangkan pasportnya telah dibatalkan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan menantu bekas perdana menteri itu berada di sebuah negara Asia Barat seperti yang dilaporkan media hari ini.

Muhammad Adlan meninggalkan negara ini menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya didakwa atas beberapa pertuduhan rasuah.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482051