AM

RMHC Malaysia Sumbang Bilik Terapi Sensori Di PPDK Semenyih, Tingkat Kualiti Hidup Anak Istimewa

24/10/2025 10:12 AM

SEMENYIH, 24 Okt (Bernama) -- Dalam usaha mempertingkatkan kualiti hidup kanak-kanak istimewa, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dengan sokongan McDonald’s Malaysia hari ini menyerahkan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald (RMSR) kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Semenyih, sekali gus menjadi simbol komitmen berterusan organisasi itu terhadap pembangunan komuniti B40.

Pengurus Besar RMHC Malaysia Mohd Nasri Mohd Nordin berkata kemudahan itu yang telah dinaik taraf RMHC merupakan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald ke-36 dibangunkan di seluruh negara dan menjadi antara inisiatif penting dalam membantu perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas dengan menyediakan ruang terapi yang inklusif dan menyeronokkan.

“Bilik sensori ini amat diperlukan demi pembangunan anak-anak istimewa. Ia bukan sekadar tempat menjalani terapi, tetapi ruang untuk mereka belajar, meneroka dan membina keyakinan diri dalam suasana positif.

“Kami percaya apabila komuniti dibekalkan dengan kemudahan yang betul, kualiti hidup mereka turut meningkat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di PPDK Semenyih di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor Azmir Kassim dan Naib Presiden PPDK Semenyih Rosli Ismail.

Mohd Nasri berkata PPDK Semenyih dipilih kerana ia antara pusat terbaik di Selangor yang telah menerima pelbagai bantuan sensori dan latihan daripada RMHC sejak 2022.

Beliau berkata bagi memastikan kemudahan berfungsi dengan baik dalam jangka panjang, RMHC akan terus menyelenggara setiap bilik terapi selain memberi latihan khusus kepada penjaga di pusat PPDK agar mereka dapat mengendalikan peralatan dengan betul.

Menurut beliau RMHC merupakan satu-satunya pertubuhan yang mempunyai rangkaian bilik terapi sensori terbesar di Malaysia melalui kerjasama dengan hospital, penyedia pendidikan khas dan pusat jagaan anak-anak istimewa di seluruh negara yang telah dimanfaatkan lebih 4,500 kanak-kanak setiap tahun.

Sementara itu, Che Murad berkata kerjasama antara RMHC Malaysia dan JKM memperkukuh usaha membantu komuniti berkeperluan khas melalui perkongsian kepakaran serta sinergi strategik antara sektor kerajaan, korporat dan badan bukan kerajaan (NGO).

“RMHC telah lama aktif dalam usaha kebajikan ini sejak 1999 dan sehingga kini sudah membangunkan 36 bilik terapi sensori di seluruh negara. Ini menunjukkan komitmen berterusan dan konsisten dalam membantu anak-anak istimewa mendapatkan akses kepada kemudahan terapi.

“Kami berharap kerjasama antara RMHC dan JKM ini dapat menjadi contoh kepada lebih banyak syarikat dan organisasi lain untuk turut sama memainkan peranan membantu komuniti berkeperluan khas di negara ini,” katanya.

Beliau turut berharap kerjasama antara RMHC Malaysia dan JKM akan terus diperluas agar lebih banyak keluarga berpendapatan rendah mendapat manfaat daripada kemudahan seperti ini.

Dalam pada itu, bagi Azlinda Mahamud, 46, suri rumah dan ibu kepada lima anak berkata kemudahan bilik terapi sensori itu amat membantu keluarga B40 sepertinya yang sebelum ini tidak mampu menanggung kos rawatan terapi di pusat swasta.

“Bilik sensori ini bukan hanya untuk anak-anak autisme, tapi juga membantu menenangkan emosi dan meningkatkan fokus pelatih lain. Saya pernah melihat sendiri kawan anak saya yang biasanya agresif jadi lebih tenang selepas berada dalam bilik sensori ini,” katanya.

Azlinda berkata anaknya Muadz Ahmad Fachrul Oriel, 12, yang menghidap autisme ringan, paling gemar bermain bola serta tertarik dengan cahaya dan bunyi di dalam bilik sensori itu yang membantunya lebih fokus semasa sesi terapi.

Beliau berharap lebih banyak pusat seperti PPDK Semenyih menerima bantuan seumpama itu agar lebih banyak anak-anak istimewa dapat mengembangkan potensi mereka sepenuhnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482294