KOTA BHARU, 24 Okt (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 bersama Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) merampas 2,622 unit peranti dan cecair rokok elektronik atau vape pelbagai jenis serta 733 unit aksesori bernilai RM272,000 dalam serbuan Op Taring Wawasan Kelantan di Tanah Merah semalam.
Pemangku Komander Briged Tenggara PGA ACP Ijid Landu Binju berkata serbuan ke atas dua premis dijalankan antara 9.50 pagi hingga 11 pagi dan mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Tiga lelaki berusia 21 hingga 23 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis turut ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MDTM 2019.
“Kesemua barang rampasan diserahkan kepada MDTM untuk tindakan lanjut dan PBT turut mengeluarkan kompaun serta notis sitaan terhadap barangan yang dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, dalam operasi berasingan pada hari sama, PGA Batalion 7 turut menggagalkan cubaan mengedar dadah selepas merampas 7.05 kilogram ganja di Kampung Tok Pelanduk, Pasir Mas.
“Serbuan ke atas sebuah rumah tidak berpenghuni dilakukan pada 11.30 pagi hasil maklumat risikan, sebelum anggota menemukan sebuah guni berisi bunga ganja yang ditinggalkan di luar kediaman itu.
“Nilai anggaran rampasan RM254,000 dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
-- BERNAMA