AM

Malaysia, Afrika Selatan Perkukuh Hubungan Ekonomi, Pendidikan Dan Penyelidikan

25/10/2025 09:48 PM

PUTRAJAYA, 25 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Afrika Selatan bersetuju untuk memperkukuh kerjasama mereka dalam bidang perdagangan, pendidikan, pertahanan, penyelidikan saintifik serta bidang baharu seperti semikonduktor dan pertanian halal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Persetujuan itu dicapai selepas mesyuarat dua hala antara Anwar dan Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.

“Kami bersetuju bahawa kami perlu meningkatkan strategi Malaysia untuk memperluas rakan dagangan baharu selain meneruskan perjanjian konvensional sedia ada.

“Oleh itu, melalui BRICS, kami komited untuk memperluas perdagangan dengan Afrika dan Amerika Latin, selain turut memberi tumpuan kepada perdagangan antara ASEAN dan memperkukuh hubungan ekonomi di Asia,” kata beliau.

Anwar berkata Afrika Selatan mempunyai kedudukan istimewa di benua Afrika dengan pengaruh yang besar dan kekuatan ekonomi dalam bidang pertahanan, pertanian dan industri berkaitan.

“Oleh itu, kami memberi jaminan bahawa kami akan terus bekerjasama dalam bidang baharu selain minyak sawit, termasuk semikonduktor, halal, pertanian dan pertahanan.

“Kami turut memperluas kerjasama ini kepada pendidikan dan penyelidikan di universiti dan institusi saintifik, dengan menteri dan pentadbir daripada kedua-dua pihak meneruskan pelaksanaannya,” kata beliau.

Anwar juga menyifatkan Ramaphosa sebagai ‘suara nurani, ketabahan dan keyakinan’ dalam mempertahankan keadilan dan hak asasi manusia di seluruh Afrika dan sejagat dengan usaha tersebut meliputi rakyat Gaza serta inisiatif antarabangsa seperti proses Hague di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Mereka merupakan pemain yang amat penting dalam inisiatif Hague di ICC. Sudah tentu, bagi pihak Malaysia, saya juga ingin menyatakan penghargaan atas keberanian mempertahankan kebenaran,” kata beliau.

Beliau berkata Malaysia sedang berusaha memperluas kerjasama perdagangan dan mengurangkan kebergantungan kepada hanya beberapa negara.

“Selain daripada perjanjian perdagangan yang perlu kita terbuka kerana Malaysia contohnya, tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada beberapa negara sahaja,” kata beliau.

Beliau berkata pasaran sedang berkembang manakala ekonomi sedang meningkat justeru, setiap negara perlu mengambil langkah pragmatik dan praktikal untuk memastikan kelangsungan masing-masing.

Anwar berkata langkah itu juga bertujuan melonjakkan perdagangan antara negara anggota ASEAN selain bekerjasama secara lebih berkesan dalam rantau Asia.

“Bagaimanapun saya sedar bahawa dalam dunia globalisasi ini kita perlu mencari rakan khususnya yang berkongsi visi yang sama, idea bersama dan kerana itulah apabila saya diberi peluang mempengerusikan ASEAN, saya menumpukan usaha memperkukuh hubungan dengan negara seperti Afrika Selatan dan Brazil,” kata beliau.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Ramaphosa atas penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran oleh Universiti Malaya pada Isnin ini, satu penghormatan yang menjejaki pengiktirafan yang diberikan kepada Nelson Mandela pada 1990.

Pada 2024, Afrika Selatan merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di benua Afrika, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM7.82 bilion (US$1.71 bilion).

Eksport Malaysia ke Afrika Selatan bernilai RM3.84 bilion (US$840 juta), manakala import pula berjumlah RM3.98 bilion (US$870 juta).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483112