DUNIA

Bessent: Perjanjian Perdagangan AS-Korea Selatan Belum Dimuktamad Semasa Lawatan Trump

27/10/2025 06:35 PM

ISTANBUL, 27 Okt (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Scott Bessent berkata perjanjian perdagangan dengan Korea Selatan tidak akan dimuktamadkan semasa lawatan Presiden AS Donald Trump minggu ini, memetik kerumitan perjanjian itu, lapor Anadolu Ajansi.

“Terdapat banyak butiran yang masih perlu diselesaikan. Ia perjanjian yang sangat rumit, tetapi saya fikir kita sudah hampir,” katanya kepada wartawan di dalam pesawat Air Force One ketika dalam perjalanan dari Malaysia ke Jepun.

Apabila ditanya sama ada beliau menjangkakan perjanjian itu akan dimuktamadkan pada Rabu, Bessent menjawab "belum lagi", namun menyatakan bahawa rangka kerja keseluruhan sudah siap.

“Kami kini sedang memperincikan butiran akhir dan memastikan semuanya sempurna,” katanya sambil menegaskan bahawa setiap butiran kecil dalam urusan berkenaan diberi perhatian serius.

Pada Julai lalu, Trump bersetuju untuk mengurangkan duti ke atas import produk Korea Selatan kepada 15 peratus daripada 25 peratus, sebagai balasan kepada pelaburan USD350 bilion oleh Seoul di AS.

Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer menjelaskan bahawa perjanjian itu merangkumi beberapa bahagian termasuk isu berkaitan keselamatan negara dan hal perdagangan, dengan Korea Selatan mengekalkan sekatan bukan tarif terhadap AS.

“Kebanyakan isu itu telah kami selesaikan,” katanya sambil menambah bahawa sebahagian lagi perjanjian berkaitan pelaburan masa depan.

Greer turut menjelaskan bahawa rundingan semasa memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelaburan Korea di AS dengan cara paling berkesan.

“Pihak Korea mempunyai rancangan kukuh untuk melabur dalam industri pembinaan kapal AS dengan lebih besar daripada sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, Trump menegaskan kepentingan industri pembinaan kapal, menyatakan bahawa AS kini giat berusaha menghidupkan semula industri itu dan berhasrat untuk mengembalikan kedudukannya sebagai pembina kapal terkemuka dunia.

Trump dijadual bertemu Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung pada Rabu di Busan semasa Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

-- BERNAMA-ANADOLU

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484014