AM

Pertemuan Fizikal Pertama Pemimpin RCEP Seru Reformasi WTO Tingkatkan Perdagangan Global

27/10/2025 06:43 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ke-5 menekankan kepentingan melaksanakan pembaharuan berani terhadap Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bagi memastikan organisasi itu dapat berfungsi dengan lebih baik dalam memenuhi kepentingan semua anggotanya.

RCEP, yang dianggotai 10 negara ASEAN serta China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand, dalam kenyataan bersama mengulangi komitmen mereka terhadap peraturan dan prinsip WTO sebagai asas kepada sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, telus, adil dan berasaskan peraturan -bagi menjamin ketelusan serta tidak mendiskriminasi mana-mana rakan dagang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mempengerusikan sidang kemuncak itu, menegaskan bahawa pertemuan pemimpin RCEP kali ini berlangsung pada saat yang penting, sambil menyatakan bahawa kepentingan mesyuarat itu kini lebih jelas daripada sebelumnya.

“Oleh itu, rebutlah peluang ini untuk terlibat dalam dialog yang terbuka dan berpandangan jauh. Dengan bekerjasama, kita tahu hasilnya dan kita mesti memastikan asas kukuh untuk keamanan dan kemakmuran yang berkekalan di rantau Asia-Pasifik,” katanya pada Sidang Kemuncak RCEP ke-5 di sini hari ini.

Sidang kemuncak RCEP yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu merupakan antara acara utama dalam jadual padat hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Pemimpin RCEP turut menegaskan bahawa integrasi serantau yang dijalankan dalam rangka sistem perdagangan pelbagai hala dengan WTO sebagai terasnya adalah penting bagi kestabilan ekonomi, daya tahan dan kemakmuran jangka panjang rantau ini.

Negara-negara anggota juga secara kolektif mengiktiraf peranan penting RCEP dalam menyumbang kepada integrasi dan kerjasama ekonomi serantau.

“Kami juga sedar akan pentingnya memperkukuh daya tahan ekonomi rantau ini di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dan perdagangan global serta serantau masa kini. Sehubungan itu, kami mengulangi komitmen teguh untuk meningkatkan pelaksanaan penuh dan berkesan Perjanjian RCEP sebagai langkah penting ke arah merealisasikan potensi sepenuhnya bagi perdagangan dan pertumbuhan rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Para pemimpin turut menegaskan komitmen untuk tidak mengambil sebarang langkah yang bercanggah dengan obligasi di bawah Perjanjian RCEP, memastikan pasaran kekal terbuka, bebas dan berasaskan peraturan, menghapuskan halangan perdagangan yang tidak perlu, serta memperkukuh kemudahan perdagangan dan pelaburan bagi semua pihak.

“Kami turut mengiktiraf peranan penting kerajaan serantau dalam menangani ketidaktentuan ekonomi global.

“Kami telah mengarahkan menteri dan pegawai supaya mempergiat usaha bagi memulakan penyediaan semakan umum Perjanjian RCEP yang dijadualkan pada 2027, serta meneruskan perbincangan mengenai langkah untuk mempercepat pelaksanaan perjanjian itu bagi memastikan kesaksamaan peluang dan memacu pertumbuhan kukuh serta berdaya tahan di peringkat domestik dan serantau,” tambah kenyataan itu.

Sidang Kemuncak RCEP ke-5 ini merupakan pertemuan fizikal pertama pemimpin RCEP sejak perjanjian itu dimeterai pada 2020 ketika kemuncak pandemik COVID-19.

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484016