AM

JKKN Perlis Perkasa Usaha Semarakkan Kembali Tradisi Masyarakat Melayu

25/10/2025 09:03 PM

KANGAR, 25 Okt (Bernama) -- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis memperkasakan usaha menyemarakkan kembali aktiviti tradisi masyarakat Melayu di negeri itu, menerusi penganjuran Program Budaya @ Komuniti Kampung Wai yang berlangsung dua hari bermula semalam di Dataran Kampung Wai, Kuala Perlis dekat sini.

Pengarah JKKN Perlis Shahrizal Abdan berkata penganjuran program itu, memberikan peluang komuniti setempat menonjolkan aktiviti masyarakat Melayu yang semakin dilupakan seperti adat berendoi rewang masak laksa, pertandingan nyanyian lagu irama Malaysia dan sepak raga rakyat.

“Kita mengangkat semula aktiviti tradisi ini bagi memperkukuh identiti budaya masyarakat Melayu. Usaha ini bukan sahaja menghidupkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat desa, tetapi juga memperkukuh jati diri generasi muda terhadap seni dan budaya tradisional,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian program itu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Perlis Abu Bakar Hamzah, di Dataran Kampung Wai itu dekat sini hari ini.

Shahrizal berkata penganjuran program dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Perlis turut memperkenalkan produk pelancongan tempatan kepada pengunjung, sekali gus berpotensi menyumbang kepada kerancakan sektor pelancongan di Perlis.

Sementara itu, Abu Bakar berkata kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif JKKN Perlis dalam usaha memartabatkan warisan budaya tempatan sebagai identiti dan daya tarikan pelancongan negeri.

“Program seperti ini bukan sahaja memelihara budaya bangsa, tetapi juga boleh menarik kedatangan pelancong yang ingin merasai sendiri pengalaman adat dan kehidupan masyarakat tempatan. Kita mahu menjadikan elemen seni budaya seperti 'Choley' (kenderaan berhias berasaskan motosikal yang diubah suai) sebagai satu tarikan istimewa Perlis,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483154