GAYA HIDUP

Kai Muruku: Juadah Tradisional Yang Kian Hilang

18/10/2025 12:49 PM

Oleh Vishvani Kumar

PETALING JAYA, 18 Okt (Bernama) -- Tangan warga emas itu lincah memintal adunan tepung beras membentuk kai muruku - kuih tradisional kaum India berbentuk lingkaran tali berpintal - yang kemudian digoreng.

Satu demi satu kuih itu disiapkan oleh V. Lakshmi Bai, 73, bagi dihidangkan pada sambutan Deepavali yang akan dirai Isnin ini.    

Renyah, namun hatinya berasa puas dapat menghasilkan kuih itu secara tradisional, satu kemahiran yang kian hilang ditelan zaman kerana kebanyakan orang kini lebih suka membeli muruku siap yang banyak dijual.

pic-2

“Dulu tiada acuan langsung, sebab itu orang buat kai muruku. Saya tidak mahu budaya ini hilang, sebab itu hingga sekarang saya masih buat sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Tunku, di sini.

Bagi wanita ini, membuat kai muruku secara tradisional bukan sekadar rutin menjelang Deepavali sejak tiga dekad lalu, tetapi satu usaha mempertahankan warisan yang diturunkan oleh ibunya.

Berbeza dengan muruku biasa yang dibuat menggunakan acuan, kai muruku hanya ada dua lingkaran, menjadikan kuih ini lebih lembut dan “mesra gigi”. Muruku biasa pula mempunyai banyak lingkaran dengan bahagian tepi lebih keras.

pic-3

 Dari segi bahan, kedua-duanya hampir sama, iaitu mentega, jintan manis, kacang dal putih dan serbuk asafutida, namun rahsia kai muruku terletak pada kelembapan tepung beras yang digunakan.

“Kai muruku perlukan tepung basah. Saya basuh beras, jemur separuh kering sebelum dikisar jadi tepung,” katanya. “Kalau muruku acuan, guna tepung kering pun boleh, tapi kai muruku hanya jadi elok kalau tepungnya separuh basah.”

Setiap keping kai muruku menuntut kesabaran dan kemahiran. Untuk menghasilkan kira-kira 40 keping, Lakshmi memerlukan hampir 45 minit, berbanding hanya 30 minit jika menggunakan acuan.

pic-4

Bagi wanita ini, setiap lingkaran kai muruku itu melambangkan kasih sayang dan kesabaran serta warisan yang harus dipertahankan.

“Sekarang susah nak jumpa orang yang buat kai muruku. Tapi selagi saya mampu, saya akan teruskan. Ini budaya kita,” katanya tegas.

Pengalaman membuat kai muruku buat kali pertama mengajar penulis tentang erti kesabaran dan ketinggian nilai warisan dapur masyarakat India. Kai muruku menjadikan Deepavali bukan sekadar tentang manisan dan cahaya pelita tetapi kisah tangan yang kian berkedut cuba mempertahankan warisan kaum agar tidak pupus ditelan zaman.   

-- BERNAMA

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480334