AM

TEKUN Nasional Salur RM109 Juta Perkasa 2,006 Usahawan Sabah

26/10/2025 03:54 PM

TELUPID, 26 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menyalurkan pembiayaan RM109 juta bagi memperkasakan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata peruntukan itu disalurkan setakat September lepas dan membabitkan 2,006 usahawan TEKUN di Sabah termasuk RM8.5 juta kepada 207 usahawan di Telupid.

“Ini jelas menunjukkan komitmen TEKUN Nasional memperkasakan ekonomi rakyat melalui sokongan pembiayaan mikro, khususnya kepada komuniti luar bandar dan usahawan kecil yang memerlukan suntikan modal untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ewon berkata sejak ditubuhkan pada 1998, TEKUN Nasional menyalurkan pembiayaan RM10.84 bilion kepada 607,514 usahawan di negara ini setakat September lepas.

Daripada jumlah itu, RM1.26 bilion disalurkan kepada 67,248 usahawan di Sabah dengan RM37.4 juta disalurkan ke Telupid di bawah Parlimen Beluran melibatkan 1,320 usahawan.

“Telupid kaya dengan sumber alam, potensi pertanian serta pelancongan. Usahawan di sini, terutama yang terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan, pertanian, kraftangan dan industri makanan adalah kekuatan kita.

“Mereka bukan sahaja menjana pendapatan untuk keluarga, tetapi membuka peluang pekerjaan dan penggerak ekonomi setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon menasihatkan penduduk untuk mengambil peluang daripada Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) dan skim lain ditawarkan TEKUN Nasional, serta menyertai program latihan serta bimbingan disediakan agensi di bawah KUSKOP. 

“Kejayaan perniagaan bukan hanya bergantung kepada modal, tetapi juga ilmu pengetahuan dan kemahiran keusahawanan,” katanya.

Ewon berkata Belanjawan 2026 juga membuktikan komitmen berterusan kerajaan membantu usahawan PMKS dengan peruntukan sehingga RM2.5 bilion disalurkan untuk manfaat usahawan mikro di negara ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483432