TELUPID, 26 Okt (Bernama) -- Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia membuka ruang yang lebih luas kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran serantau, sekali gus mengetengahkan keunikan produk tempatan termasuk hasil kraftangan dari Sabah.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata program SME Venture@ASEAN 2025 yang diadakan baru-baru ini, menjadi platform penting bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Sabah memperkenalkan produk masing-masing.
“Pavilion Sabah telah dibuka dengan mengangkat produk-produk Sabah, malah sebahagian daripada cenderamata untuk pelbagai mesyuarat ASEAN itu juga melibatkan produk misalnya kraftangan daripada Sabah.
“Kita cipta ruang pembabitan usahawan, sama ada dalam bentuk cenderamata kepada pelbagai mesyuarat atau pun penyertaan dalam ekspo-ekspo peringkat ASEAN yang diadakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, di sini hari ini.
Selain itu, Ewon berkata kementerian juga telah melaksanakan empat pengisian utama sepanjang program Kepengerusian ASEAN tahun ini, termasuk ASEAN Coordinating Committee on Small and Medium Enterprise (SME) di Langkawi, Kedah dan ASEAN Inclusive Business Forum di Kuala Lumpur.
“Small Medium Enterprise Development Bank Bhd (SME Bank) turut melancarkan Center of Excellence for Green Transitions for Malaysian Small, Medium and Enterprse (MSME) peringkat ASEAN serta ASEAN Cooperative Dialogue beberapa bulan lepas,” katanya.
-- BERNAMA