SUKAN

MotoGP: Marquez Dominasi Sepang, Raih Kejuaraan Ketiga Musim Ini

26/10/2025 05:31 PM

SEPANG, 26 Okt (Bernama) -- Alex Marquez mempamerkan aksi menakjubkan untuk merangkul kejuaraan ketiganya musim ini pada perlumbaan motosikal Grand Prix (GP) Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.

Pelumba pasukan BK8 Gresini Racing MotoGP yang bermula di petak kedua di belakang juara bertahan GP Malaysia Francesco Bagnaia dari Ducati Lenovo Team tidak menunggu lama untuk membuktikan penguasaannya.

Memasuki pusingan kedua perlumbaan, Marquez melakukan gerakan berani memintas Bagnaia untuk merampas kedudukan pendahulu dan kekal tanpa digugat.

Pelumba berusia 29 tahun itu menempuh bahang litar tanpa menoleh lagi, meninggalkan pencabarnya untuk menamatkan perlumbaan dengan merekodkan 40 minit 09.249 saat.

Pertarungan sengit bagi merebut kedudukan kedua membuatkan peminat sukan permotoran tidak senang duduk apabila pelumba Red Bull KTM Factory Racing Pedro Acosta memberikan tekanan kepada Bagnaia.

Acosta berjaya memintas pada pusingan ke-13, dan kekal konsisten hingga penamat dengan 2.676s di  belakang pendahulu.

Kedudukan Bagnaia semakin merosot sebelum memasuki pit dan menarik diri daripada perlumbaan yang berbaki lagi tiga pusingan.

Pelumba Honda HRC Castrol Joan Mir melengkapkan podium di tempat ketiga dengan 8.048s di belakang Marquez.

Setakat hari ini, Marquez mengumpul 413 mata, mengikuti rapat  di belakang abangnya Marc Marquez dari Ducati Lenovo Team, yang terpaksa menamatkan musim lebih awal selepas mengalami kecederaan tulang selangka dengan 545 mata.

Marco Bezzecchi dari Aprilia Racing ketiga dengan 291 mata manakala Bagnaia keempat selepas mengutip  286 mata dalam kedudukan carta kejuaraan selepas 20 pusingan.

Perlumbaan seterusnya ialah GP Portugal yang berlangsung pada 7 hingga 9 Nov di Litar Antarabangsa Algarve.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483470