SUKAN

Moto2: Dixon Tawan Sepang

26/10/2025 06:35 PM

SEPANG, 26 Okt (Bernama) -- Pelumba Elf Marc VDS Racing Team Jake Dixon meraih gelaran ketiga musim ini selepas muncul juara kelas  Moto2 pada Grand Prix (GP) Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.

Pelumba British berusia 29 tahun itu menjadi pelumba pertama melepasi garisan penamat dengan catatan masa 23 minit 05.269 saat (s).

Dixon menamatkan perlumbaan di hadapan pelumba CFMOTO RCB Aspar Team David Alonso yang meraih tempat kedua (+2.035s), manakala pelumba Fantic Racing Barry Baltus (+2.745s) melengkapkan kedudukan podium itu.

Ia merupakan kemenangan ketiga Dixon musim ini selepas mengungguli GP Argentina dan GP Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, dua pelumba wildcard Malaysia iaitu Muhammad Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar daripada Petronas MIE Racing RW menamatkan saingan masing-masing di tempat ke-23 dan 24 daripada 30 pelumba.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483516