AM

Kemajuan Sebenar AITIGA, ASEAN Sasar Muktamad Perjanjian Itu Pada Akhir Tahun Ini - PM Anwar

26/10/2025 09:43 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) menunjukkan kemajuan sebenar dengan ASEAN komited untuk memuktamadkannya pada akhir tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata para pemimpin ASEAN gembira untuk meneruskan perbincangan dan kerjasama dengan India memandangkan kedua-dua pihak bersedia untuk Pelan Tindakan ASEAN-India 2026-2030.

“Kita mahu memuktamadkan AITIGA pada tahun ini. Jadi, sememang terdapat beberapa kemajuan sebenar, bukan sahaja untuk Malaysia,” kata beliau  ketika menyampaikan ucapan pembukaan di Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-22 di sini, hari ini.

AITIGA, ditandatangani pada 2009, telah menjalani semakan sejak 2023.

AITIGA bertujuan mewujudkan aliran bebas barangan antara negara anggota ASEAN dan India, yang akan mengurangkan halangan perdagangan, memperkukuh hubungan ekonomi, mengurangkan kos perniagaan, meningkatkan perdagangan, memperluas pasaran serta menguntungkan dari segi kos bagi perniagaan.

Beliau berkata hubungan dialog ASEAN-India kekal sebagai pendorong kestabilan dan kemakmuran bersama, dan dengan kemajuan ekonomi India merentas pelbagai bidang, hal itu akan memberi manfaat kepada blok ASEAN dan India.

Anwar berkata Malaysia sentiasa mempunyai hubungan istimewa dengan India, sebahagiannya didorong oleh komuniti besar berketurunan India di negara ini serta melalui hubungan perdagangan, pelaburan dan akademik.

Perdana Menteri India Narendra Modi menghadiri sidang kemuncak itu secara maya, serta Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dipengerusikan oleh Malaysia dari 26 hingga 28 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN-India itu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, berperanan sebagai penyelaras negara bagi hubungan dialog ASEAN-India.

India menjadi rakan dialog ASEAN pada 1996, dengan jumlah perdagangan dua hala meningkat kepada US$106.83 bilion (US$1 = RM4.22) pada 2024 daripada US$100.72 bilion pada 2023.

Bagaimanapun, pelaburan langsung asing dari India ke ASEAN susut 34.97 peratus kepada US$3.31 bilion pada 2024 daripada US$5.09 bilion pada 2023.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483576