KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Malaysia bersedia memperkukuh kerjasama dengan Jepun dalam pembangunan unsur nadir bumi, mineral penting dan sektor berkaitan mineral yang lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Malaysia juga mengalu-alukan penyertaan dan pelaburan Jepun dalam semua peringkat rantaian industri daripada penerokaan huluan dan aktiviti perlombongan mampan sehinggalah kepada proses penapisan, pengasingan, serta pengeluaran produk bernilai tinggi yang menggunakan teknologi Jepun.
“Kerjasama ini juga boleh diperluas kepada inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama bagi meningkatkan inovasi serta kemajuan teknologi dalam sektor berkenaan,” kata beliau pada mesyuarat bilateral dengan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.
Takaichi yang juga Presiden Parti Liberal Demokratik Jepun dilantik sebagai perdana menteri pada Selasa lepas sekali gus menjadi pemimpin wanita pertama negara itu.
Anwar turut menegaskan semula komitmen Malaysia untuk memperkukuh perkongsian dua hala di semua peringkat bagi meningkatkan lagi kerjasama serta persefahaman antara kedua-dua negara.
Selain itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Jepun atas sokongan dan bantuan berterusan kepada badan serantau berkenaan sejak 1973, khususnya terhadap komitmen tidak berbelah bahagi dalam memperkukuh Kepusatan ASEAN.
Anwar berkata kemajuan memberangsangkan yang dicapai di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif yang merangkumi lima bidang utama, iaitu keamanan dan keselamatan; kemakmuran ekonomi; sains dan teknologi, inovasi serta alam sekitar; masyarakat, kebudayaan dan pertukaran antara rakyat; serta kerjasama serantau dan global.
Sementara itu, Perdana Menteri turut menyampaikan penghargaan kepada Jepun atas sumbangan melalui Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) yang merangkumi 14 kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), dua lori pembersih jalan dan tujuh bot penyelamat bernilai RM12.63 juta, dijadual diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia tahun ini.
Mengenai kerjasama maritim, beliau menghargai latihan bersama antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pengawal Pantai Jepun, yang disifatkan sebagai bentuk kerjasama strategik dan inisiatif penting bagi memperkukuh keselamatan maritim serantau.
Mengulas situasi di Palestin, Anwar turut mengiktiraf bantuan Jepun melalui Persidangan Kerjasama Negara-Negara Asia Timur bagi Pembangunan Palestin (CEAPAD).
-- BERNAMA