AM

Sidang Kemuncak ASEAN: Sidang RCEP, EAS Isnin Tumpu Integrasi Ekonomi, Kerjasama Strategik

27/10/2025 08:42 AM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Pemimpin ASEAN dan rakan dialog akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh integrasi ekonomi serantau serta kerjasama strategik semasa Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ke-5 dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 di sini hari ini.

Kedua-dua sidang kemuncak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu menjadi tumpuan utama pada hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di bawah tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, “Keterangkuman dan Kemampanan.”

Mesyuarat berkenaan dijangka merangka hala tuju baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kestabilan serantau di tengah-tengah persekitaran global yang semakin kompleks.

Menurut jadual rasmi yang ditetapkan, hari ini akan dimulakan dengan Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea (ROK) ke-26 dari 9.30 pagi hingga 10.30 pagi, yang dihadiri oleh ketua negara dan kerajaan ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn serta Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung.

Sidang Kemuncak ROK itu akan menegaskan semula kerjasama dalam bidang inovasi, peralihan tenaga dan pertukaran belia di bawah Inisiatif Solidariti Korea-ASEAN (KASI).

Ia akan diikuti oleh Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (ASEAN+3) ke-28 yang melibatkan ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan dari 10.45 pagi hingga 12.15 tengah hari.

Antara yang dijangka hadir wakil daripada Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Majlis Perniagaan Asia Timur (EABC) dan Sekretariat Kerjasama Tiga Pihak (TCS).

Pada 12.30 tengah hari, majlis resepsi akan diadakan sempena kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ASEAN bagi meraikan ahli baharu blok itu, yang akan dihadiri oleh pemimpin ASEAN dan rakan dialog, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, menteri serta pegawai kanan.

Seterusnya, Sidang Kemuncak RCEP yang dijadualkan dari 1.45 tengah hari hingga 3.15 petang akan menghimpunkan wakil 15 negara anggota yang menyumbang kira-kira 30 peratus atau satu pertiga daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global.

Antara topik yang akan dibincangkan termasuk perdagangan dan pelaburan, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan serta pendigitalan.

Pada 3.30 petang, Sidang Kemuncak EAS akan bermula, menghimpunkan pemimpin ASEAN bersama lapan rakan dialog termasuk China, Jepun, India, Korea Selatan, Australia, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat.

Diikuti Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-15 dari 6.30 petang hingga 7.30 malam yang dijangka memberi tumpuan kepada kesepadanan antara Visi Komuniti ASEAN 2025 dan Agenda 2030 PBB untuk Pembangunan Mampan.

Sebagai acara kemuncak hari tersebut, majlis makan malam gala akan dianjurkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 9 malam.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dari 26 hingga 28 Okt ini dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483688