DUNIA

Korea Selatan Perkukuh Kerjasama Dengan ASEAN Tangani Jenayah Rentas Sempadan - Presiden Lee

27/10/2025 11:38 AM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama-Yonhap) -- Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung pada Isnin menyatakan komitmen negaranya untuk memperkukuh kerjasama dengan ASEAN dalam memerangi jenayah rentas sempadan serta melindungi golongan muda daripada menjadi mangsa rangkaian jenayah terancang di Asia Tenggara.

Lee menyampaikan kenyataan itu semasa Sidang Kemuncak ASEAN- Republik Korea di Kuala Lumpur yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, ketika kebimbangan semakin meningkat berikutan kegiatan penipuan dalam talian yang menyasarkan rakyat Korea Selatan selepas insiden penyeksaan dan kematian seorang pelajar Korea di pusat penipuan di Kemboja baru-baru ini.

“Rangkaian jenayah terancang seperti pusat penipuan kini semakin berleluasa di kawasan sempadan yang lemah dari segi penguatkuasaan undang-undang, dan malangnya ramai anak muda menjadi mangsa jenayah rentas sempadan,” kata Lee seperti dipetik agensi berita Yonhap.

Beliau berkata, Agensi Polis Kebangsaan Korea akan bekerjasama rapat dengan ASEANAPOL (badan Gabungan Polis-Polis Rantau Asia Tenggara) bagi membanteras pusat jenayah ini dan memastikan ia tidak berakar di rantau ini.

Lee turut memaklumkan bahawa Seoul akan memperluas kerjasama keadilan jenayah secara dua hala serta dalam kerangka ASEAN.

Dalam penampilan sulungnya di perhimpunan tahunan itu sejak memegang jawatan pada Jun lalu, Lee turut menggariskan inisiatif Seoul untuk memperdalam Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) yang dimeterai dengan ASEAN tahun lepas dan mencadangkan agar Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Republik Korea diadakan pada 2029 bagi meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua pihak.

Melalui "CSP Vision" yang berasaskan rangka kerja kerjasama tertinggi ASEAN, Korea Selatan berhasrat menjadi penyumbang kepada impian dan harapan, pemangkin kepada pertumbuhan dan inovasi, serta rakan kongsi untuk keamanan dan kestabilan.

Di bawah inisiatif itu, Lee berkata Korea Selatan menyasarkan untuk meningkatkan jumlah lawatan dua hala kepada 15 juta orang setahun dan nilai perdagangan kepada USD300 bilion, selain memainkan peranan lebih aktif dalam memerangi jenayah rentas sempadan, memperkukuh keselamatan maritim dan menyokong bantuan bencana demi menjamin keamanan serta kestabilan serantau.

-- BERNAMA-YONHAP



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483739