Oleh V. Sankara
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Presiden José Ramos-Horta menyifatkan penyertaan ke dalam ASEAN sebagai melengkapkan penglibatan antarabangsa Timor-Leste dan menandakan lembaran baharu dalam perjalanan negara itu ke arah kestabilan, pembaharuan dan transformasi digital.
Dalam temu bual eksklusif, pemenang Hadiah Nobel itu berkata keanggotaan ASEAN membawa potensi yang sangat besar namun hasilnya bergantung kepada keupayaan Timor-Leste untuk bekerja keras, memodenkan tadbir urus dan mengukuhkan keamanan di dalam negara.
“Menyertai ASEAN melengkapkan penglibatan diplomatik kami, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia) dan institusi antarabangsa lain. (Sebelum ini) yang belum kami sertai ialah ASEAN," katanya kepada Bernama.
Menurutnya penyertaan itu akan mendatangkan hasil sekiranya Timor-Leste bijak merebut peluang dan mempermudah pelaburan.
Penyertaan Timor-Leste yang sekian lama dinantikan sebagai anggota ke-11 blok itu, dirasmikan menerusi pemeteraian Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN semasa pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.
Ramos-Horta berkata keutamaan kerajaannya sejurus selepas penyertaan itu adalah untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan politik serta memastikan Timor-Leste kekal sebagai anggota ASEAN yang bertanggungjawab dan membantu.
“Kami harus memelihara keamanan supaya tidak menjadi satu lagi masalah atau sesuatu yang memalukan bagi ASEAN," katanya sambil memuji kepimpinan Malaysia kerana menggalakkan perpaduan dan pengantaraan dalam blok itu.
Presiden itu turut memaklumkan rancangan untuk memperluas pendigitalan dan memperkemas birokrasi bagi menarik pelabur.
“Kami mempunyai rangkaian gentian optik dan sedang bekerjasama dengan India untuk mendigitalkan sistem pembayaran kami," katanya sambil mengimbau kembali peranan Malaysia sebelum ini dalam membangunkan cip pasport biometrik.
Berkenaan tadbir urus, Ramos-Horta mencadangkan baik pulih digital operasi kerajaan untuk mengurangkan gangguan manusia dan meningkatkan ketelusan.
“Saya mahu menjadikan Timor-Leste sebuah negara bebas cukai sepenuhnya dan mendigitalkan setiap proses," katanya.
Menurutnya penggunaan lebih banyak kertas kerja boleh menyebabkan berlakunya lebih banyak kelewatan dan rasuah.
“Pendigitalan - kurang penglibatan manusia, lebih sedikit peluang untuk penyalahgunaan,” katanya.
Beliau berkata pendigitalan juga akan membantu menarik pelaburan, mempercepat kelulusan perniagaan dan memastikan tadbir urus sejajar dengan piawaian pentadbiran moden ASEAN.
Perkhidmatan awam negara itu yang meliputi kira-kira 40,000 pekerja untuk 1.4 juta penduduk menurutnya juga ‘terlalu besar’ justeru memerlukan pembaharuan menerusi latihan semula dan program kerja di luar negara antaranya di Australia, Korea Selatan dan Jepun.
-- BERNAMA