KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dengan kerjasama Petrosains akan menganjurkan KL Seni & STEM Festival 2025 (KLSSF 2025) yang menampilkan pelbagai aktiviti percuma berasaskan budaya, sains dan muzik di Plaza 20008, Taman KLCC dari 21 hingga 23 Nov depan.
Bertemakan “Where Arts, Heritage and Science Unite”, festival selama tiga hari itu menjanjikan pengalaman unik yang menggabungkan kreativiti dan inovasi, sekali gus menyemarakkan minat masyarakat terhadap seni tempatan serta pembelajaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Penganjur dalam satu kenyataan bersama, berkata penganjuran edisi ketujuh oleh DFP itu bertujuan memelihara dan mempromosi warisan budaya negara melalui persembahan seni tempatan, manakala kolaborasi bersama-sama Petrosains bagi memperkukuh pendekatan interaktif dalam memupuk minat terhadap sains dalam kalangan masyarakat.
“Festival ini bertepatan dengan waktunya untuk DFP mengembangkan horizon melalui kolaborasi bersama-sama Petrosains dalam sebuah festival yang meletakkan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama Malaysia untuk seni, budaya dan inovasi.
“Ia diharapkan dapat menarik minat rakyat Malaysia secara amnya dan pelancong asing menerusi aktiviti dinamik yang sesuai untuk seisi keluarga, sekali gus menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,” menurut kenyataan itu hari ini.
KLSSF 2025 akan berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pasar warisan yang menawarkan barangan seni dan kraf tradisional seperti batik, ukiran kayu, tembikar, sulaman manik, kebaya nyonya, sari dan aksesori mutiara.
Persembahan muzik dan tarian kebudayaan juga dijadualkan berlangsung di pentas utama Plaza 20008 sepanjang festival.
Petrosains pula akan mempersembahkan elemen sains melalui pertunjukan interaktif seperti Hue Done It?, Circular Fuel Show serta bengkel keluarga Light Works, DIY Instrument dan Bottle Beats yang menggabungkan unsur kimia, warna dan kreativiti dalam bentuk menyeronokkan.
-- BERNAMA