KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Syarikat di bawah Nota Amalan 17 (PN17), KNM Group Bhd akan dinyahsenarai daripada senarai rasmi Bursa Malaysia Securities Bhd pada 5 November ini susulan tindakan bursa menolak pelan pemulihannya.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, KNM berkata ia memutuskan untuk menarik balik rayuan terhadap keputusan penyahsenaraian itu dan telah mengemukakan makluman rasmi kepada Bursa Malaysia Securities.
“Susulan itu, syarikat akur dengan keputusannya. Berikutan itu, KNM akan dinyahsenarai daripada senarai rasmi Bursa Securities berkuatkuasa mulai 5 November,” katanya.
KNM telah memeterai beberapa perjanjian jual beli (SPA) bagi pelupusan aset bukan teras atau yang kurang berprestasi dalam usaha mengurangkan beban kewangan selain untuk memperkemas operasinya.
Menurut syarikat itu, kejayaan menyelesaikan SPA berkenaan adalah penting dalam usaha menstabilkan kewangan dan tempoh di bawah pengawalseliaan bagi meneruskan rayuan itu boleh menjejaskan jadual SPA terbabit.
KNM berkata bersandarkan rekod prestasinya selama 35 tahun dan kehadiran kukuh dalam industri pembuatan peralatan pemprosesan, Lembaga Pengarah yakin modal kerja sebanyak RM100 juta yang dikekalkan akan membolehkan syarikat membangunkan dan memperkukuh semula operasi.
“Lembaga Pengarah akan menumpukan aspek pemulihan operasi dan kewangan kumpulan. Apabila kedudukan kewangan syarikat pulih dan pada masa sewajarnya, pihak Lembaga Pengarah akan mempertimbangkan penyenaraian semula KNM, tertakluk kepada prestasi kewangan dan kelulusan yang ditetapkan,” katanya.
Saham-saham KNM diniagakan pada setengah sen setakat hari ini.
-- BERNAMA