KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kerajaan telah melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam Program Malaysia My Second Home (MM2H) bagi memastikan keselamatan negara terus terjamin walaupun program itu meningkatkan kegiatan ekonomi, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata pembaharuan itu termasuk menghubungkan pangkalan data Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan sistem Jabatan Imigresen bagi memastikan pengurusan data yang berintegriti serta mematuhi keperluan keselamatan negara.
“Melalui langkah ini, semua maklumat peserta termasuk prinsipal dan tanggungan direkod dalam pangkalan data MOTAC. Hanya ejen berdaftar di MOTAC dibenarkan untuk mengurus permohonan dan pengurusan peserta program.
“Maklumat ejen ini turut disimpan dalam sistem bagi tujuan pemantauan dan memastikan setiap pengurusan dijalankan secara sah dan berterusan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Mohd Hasnizan bertanya sama ada kementerian mempunyai pangkalan bersepadu untuk menjejaki peserta MM2H dan langkah terkini untuk memastikan warga asing dalam program itu tidak menyalahgunakan pas atau visa diberikan.
Shamsul Anuar berkata kerajaan juga mewajibkan setiap pemohon menjalani tapisan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum kelulusan diberikan, selain mengenakan kawalan ketat terhadap urusan pengeluaran deposit tetap bagi tujuan pembelian hartanah di bawah program itu.
Menjawab soalan asal Mohd Hasnizan, beliau berkata kerajaan turut menjalankan saringan silang dengan agensi keselamatan dan kesihatan terhadap peserta program bagi mengesan keterlibatan mereka dalam ancaman strategik seperti ekstremisme atau jenayah terancang antarabangsa.
“Pemohon juga perlu mengemukakan Letter of Good Conduct (Sijil Kelakuan Baik) daripada agensi penguatkuasaan negara asal bagi membuktikan mereka tiada rekod jenayah dan berkelakuan baik. Selain itu, tempoh sah pas MM2H ialah maksimum lima tahun dan bukan seumur hidup.
“Dalam tempoh pembaharuan, pihak berkuasa akan menilai semula kelayakan peserta dengan mengambil kira aspek keselamatan negara sebagai keutamaan. Jika terdapat keraguan, rekod negatif atau ancaman keselamatan dikesan, kita akan menolak permohonan pas tersebut,” katanya.
Mohd Hasnizan ingin tahu langkah pemantauan dan penguatkuasaan yang diambil terhadap warga asing yang telah diberikan visa jangka panjang atau yang terlibat dengan program MM2H, mematuhi undang-undang negara dan tidak terlibat dalam kegiatan yang menjejaskan keselamatan awam.
-- BERNAMA