PASARAN

Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari Susulan Sentimen Positif Selepas Perjanjian Perdagangan Dengan AS

27/10/2025 02:14 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih tinggi dalam persekitaran sentimen pelabur yang positif susulan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang bersejarah yang dimeterai semalam antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.31 mata atau 0.33 peratus kepada 1,618.58 daripada 1,613.27 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks petunjuk pasaran dibuka mengukuh 6.84 mata kepada 1,620.11 dan bergerak antara 1,617.84 dan 1,623.23 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan 510 kaunter rugi mengatasi 476 kaunter untung manakala 501 kaunter tidak berubah, 1,238 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan mencapai 2.24 bilion saham bernilai RM1.47 bilion.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, memandangkan AS dan Malaysia telah memeterai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang bersejarah semalam, pihaknya menjangka FBM KLCI menunjukkan potensi peningkatan selanjutnya terutama dalam kaunter teknologi dan sarung tangan.

“Pengeluar sarung tangan Malaysia dijangka menonjol berbanding pengeluar sarung tangan China berikutan perbezaan kadar yang lebih besar.

"Sementara itu, saham-saham teknologi dijangka diniagakan lebih tinggi berikutan sentimen positif daripada mesyuarat AS-Malaysia," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB Group meningkat sembilan sen kepada RM7.46, IHH Healthcare menambah dua sen kepada RM8.35, Tenaga Nasional menokok 10 sen kepada RM13.30 manakala Maybank dan Public Bank masing-masing tidak berubah pada RM9.90 dan RM4.22.

Bagi saham paling aktif, Insight Group yang mula disenaraikan di Pasaran ACE meningkat 32 sen kepada 68 sen dan Tanco Holdings menokok setengah sen kepada 89 sen. TWL Holdings, dan Land & General pula susut setengah sen kepada dua sen dan 16 sen manakala Perak Transit tidak berubah pada 33.5 sen.

Kaunter paling untung antaranya Malaysian Pacific Industries yang melonjak 70 sen kepada RM30.68, Fraser & Neave Holdings meningkat 44 sen kepada RM28.60, United Plantations naik 40 sen kepada RM24.40, Kuala Lumpur Kepong meningkat 34 sen kepada RM20.86, dan PPB Group menambah 32 sen kepada RM11.52.

Antara kaunter paling rugi menyaksikan Nestle berkurangan 30 sen kepada RM107.70, Petronas Gas susut 12 sen kepada RM18.62, FACB Industries menyusut 11 sen kepada RM1.54, Hi Mobility dan Sungei Bagan Rubber masing-masing rendah 10 sen kepada RM2.42 dan RM5.60.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 39.81 mata kepada 12,110.81, Indeks FBMT 100 naik 42.08 mata kepada 11,845.67, Indeks FBM Emas Shariah menokok 49.27 mata kepada 12,195.96, Indeks FBM 70 menambah 75.27 mata kepada 17,246.26 manakala Indeks FBM ACE susut 40.27 mata kepada 5,252.39.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 64.06 mata kepada 18,268.70, dan Indeks Perladangan menokok 73.34 mata kepada 7,982.63. Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.09 mata kepada 171.82 dan Indeks Tenaga merosot 6.07 mata kepada 785.25.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483819